← Back to list
Fokus utama kerajaan ketika ini adalah melindungi rakyat daripada wabak Covid-19.
Oct 26, 2020
Kerajaan akan berbincang lebih lanjut mengenai titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan darurat ketika ini.
Perdana Menteri dalam satu kenyataannya berkata jemaah menteri ambil maklum mengenai perkara itu dan keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk melindungi rakyat daripada wabak COVID-19.
Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menjunjung kasih di atas kepercayaan Seri Paduka Baginda kepada kerajaan pimpinan beliau dan menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat.
Baginda turut mengingatkan ahli politik agar hentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.
Sebaliknya, Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan perlu jadi agenda utama mengambil kira situasi rakyat dan ekonomi negara yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.
Sementara itu, titah Yang di-Pertuan Agong agar ahli politik menumpukan usaha membantu rakyat dan ekonomi negara ekoran pandemik Covid-19 dijunjung oleh parti-parti politik.
Presiden UMNO berkata ia juga selaras dengan keputusan parti itu sebelum ini untuk melakukan gencatan politik buat sementara waktu.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berpendapat ia sewajarnya dimulakan dengan satu inisiatif perdamaian nasional yang merangkumi agenda politik, ekonomi dan sosial.
Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mahu saranan Yang di-Pertuan Agong agar pemimpin politik tidak berpolitik berlebihan diberi perhatian sepenuhnya.
Jelas beliau, tokoh politik termasuk ahli Parlimen harus prihatin dan menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Perlembagaan dalam membela nasib rakyat, institusi Parlimen dan negara.
Isnin - Jumaat
7:00am, 7:00am, 8:00am, 8:30am, 9:00am, 10:00am, 11:00am, 12:00pm, 1:00pm, 2:00pm, 3:00pm, 4:00pm, 5:00pm, 6:00pm, 7:00pm
Sabtu - Ahad
9:00am, 11:00am, 1:00pm
Weather