← Back to list
Astro Audio News Raih Kejuaraan Berganda Pada Anugerah Media
Nov 18, 2025
Astro Audio News sekali lagi menempa nama dalam anugerah media selepas raih pencapaian cemerlang pada Anugerah Media PERKESO 2025 dan Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2025.
Wartawan penyiaran, Muhammad Najib Md Nazri dinobat sebagai juara Laporan Radio Terbaik Anugerah Media PERKESO 2025 yang berlangsung di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pada 13 November 2025.
Najib menerusi laporannya yang berjudul ‘RUU Pekerja Gig 2025: Dari Risiko Jalanan ke Payung Jaminan’ mengangkat isu pekerja gig di Malaysia yang sedang bergelut dengan isu keselamatan sosial dan perlindungan sekali gus mengetepikan pemenang tempat kedua dari Perak FM.

Sementara itu, wartawan senior, Nicholas Darren John dinobat sebagai juara Penyiaran Radio Terbaik Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2025 yang berlangsung di Pavilion Hotel, Kuala Lumpur pada 17 November 2025.
Nicholas melakukan laporan terperinci berjudul 'The Urban Renewal Act - The Debate Over Redeveloping Malaysia' yang mengupas isu pemodenan bandar dan juga perlindungan komuniti sekali gus mengalahkan finalis dan Perak FM dan BERNAMA Radio.

Ketua Operasi Bilik Berita dan Trafik Astro Audio News, Moganadas Muniandy sifatkan kejayaan ini sebagai salah satu medan untuk wartawan berkarya dan menghasilkan laporan yang bermutu tinggi.
“Saya sangat bangga dengan pencapaian dua wartawan dari bilik berita ini. Anugerah ini mengukuhkan keyakinan bahawa Astro Audio News berada pada landasan yang tepat dan terus relevan,” kata Moganadas.


Dalam pada itu, Najib berkata sebagai pendatang baharu dalam industri berkenaan, kemenangan terbabit merupakan satu penghormatan yang sangat bermakna buatnya.
“Saya sangat bersyukur dan terharu atas pencapaian ini. Sebagai orang baharu dalam bidang kewartawanan, kemenangan ini adalah motivasi besar untuk saya terus belajar dan berkembang,” jelas Najib.
Nicholas juga berharap untuk terus menghasilkan karya atau laporan yang berkualiti, berintegriti dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya berharap dapat terus menyumbang laporan berkualiti tinggi dan membantu membangunkan generasi baharu wartawan agar standard profesionalisme terus dipertahankan,” ujar Nicholas.
Sebagai makluman, Nicholas merupakan pemenang perak manakala Najib pemenang gangsa bagi kategori Laporan Radio Terbaik Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2024.

Isnin - Jumaat
7:00am, 7:00am, 8:00am, 8:30am, 9:00am, 10:00am, 11:00am, 12:00pm, 1:00pm, 2:00pm, 3:00pm, 4:00pm, 5:00pm, 6:00pm, 7:00pm
Sabtu - Ahad
9:00am, 11:00am, 1:00pm
Weather