Menanti hari bakal menimang cahaya mata kedia, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah reda memasuki dewan bersalin bersendirian tanpa kehadiran suami tercinta, Aliff Aziz.
Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 26, dijangka melahirkan puterinya 17 Julai ini.
Memetik laporan BH Online, apa yang penting bagi Bella ketika ini adalah memastikan proses bersalin berjalan lancar.
Walaupun sudah beberapa bulan tidak dapat bertemu suami yang kini berada di Singapura disebabkan pintu sempadan masih lagi ditutup susulan wabak COVID-19, namun Aliff tidak abaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa.
"Fokus saya hanya mahu proses bersalin berjalan lancar. Lagipun, saya sudah dewasa, tiada masa untuk terlalu banyak berfikir hal sedemikian. Sebaliknya, saya hanya reda dan bersabar dengan apa yang berlaku," katanya kepada BH Online.
"Walaupun berjauhan tidak bermakna Aliff melepaskan tanggungjawabnya. Kami berhubung setiap hari sama ada melalui panggilan suara dan video. Suami selalu mengambil berat mengenai saya dan bayi dalam kandungan, jadi saya tidak terasa sunyi.
"Apa yang berlaku adalah sesuatu yang tidak dijangka. Saya akan mengikut sahaja keadaan, jika pintu sempadan di buka kembali, Alhamdulillah. Saya percaya ini semua dilakukan untuk kebaikan, jadi tak perlu untuk saya mengeluh. Semua orang terjejas akibat pandemik COVID-19," tambahnya.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan memiliki seorang putera, Ayden Adrean yang kini berusia tiga tahun. Walaupun rumah tangga mereka beberapa kali diuji sehingga ke perceraian pada 16 Mei tahun lalu. Namun, pasangan berkenaan kembali rujuk ketika tempoh edah, keputusan itu dirahsiakan kepada pengetahuan umum.
Sumber: BH Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.