Penyanyi Bob Sentuhan memaklumkan dia tidak malu apabila menyanyi di jalanan demi sesuap nasi.
Muhammad Aizad Azman atau mesra disapa Bob Sentuhan, dia berkongsi pelbagai pengalaman sebelum ini sebagai penyanyi jalanan atau busker.

Malah, dia masih teringat ketika berusia 19 tahun dahulu dengan hanya berbekalkan RM130 yang ditolak RM40 untuk tiket bas, Bob sanggup berhijrah ke pusat bandaraya.
Dia juga sanggup memilih untuk tidur di kaki lima kedai akibat kekangan wang tunai ketika itu.
"Saya sebenarnya belajar sehingga tingkatan empat sahaja tanpa sempat ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) kerana terlalu minat dengan muzik.
"Jadi kehidupan yang dilalui sekarang adalah berdasarkan pengalaman hidup yang mendewasakan saya. Sekitar dua tahun juga saya melalui kehidupan begini.
"Saya tiada keluarga di ibu kota dan selepas puas tidur di kaki lima kedai, saya beralih arah tidur di Masjid Sri Petaling yang menjadi tumpuan jemaah tabligh," katanya.
Tambahnya, dia juga mengambil peluang untuk mendalami ilmu agama sambil mencari rezeki sebagai penyanyi jalanan di pusat bandaraya Kuala Lumpur.
"Saya belajar dan amalkan apa yang dipelajari. Alhamdulillah sampai sekarang kehidupan saya semakin stabil.
"Bagi memenuhi cita-cita bermain muzik, saya bekerja sebagai pembuat air di sebuah kedai makan dan kumpul duit berdikit-dikit sehingga berjaya membeli gitar akustik.
"Alhamdulillah... hasil pendapatan sebagai busker, saya berjaya memiliki rumah serta berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia lima bulan," katanya.
Menurutnya, dia juga berjaya mengubah persepsi keluarganya yang dulu menentang hasratnya untuk berhenti sekolah dan bermain muzik.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.