Baru-baru ini, tular di media sosial video di belakang pentas yang memaparkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza didakwa menonjolkan sisi garangnya sewaktu berkomunikasi dengan kru ketika Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza.

Pelbagai komen dan dakwaan terhadap video berkenaan dan dia tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku.
Berusia 45 tahun, penyanyi itu menjelaskan dia terkejut apabila situasi yang menunjukkan kerisauannya sebaik menyedari monitor telinga tidak berfungsi sebelum tampil di pentas membuat persembahan tular.
“Saya tak sangka pula, momen belakang pentas yang disiarkan dalam konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza mendapat perhatian dan dijadikan berita serta dikongsikan.
“Ada yang kata saya marah (reaksi dan mimik muka dalam video tersebut tanpa suara). Janganlah serius sangat, saya tak marah pun, itu muka saya cuak atau cemas, anda boleh tengok berapa saat sahaja LED itu akan terbuka dan saya kena menyanyi.
“Bayangkan kalau ‘ear monitor’ yang saya pakai tak dibuka. Peralatan ini sangat penting kepada penyanyi untuk mendengar suara dan muzik,” katanya.
Tambahnya, dia berada dalam keadaan cemas ketika berkomunikasi dengan kru di belakang pentas dan hanya mahu buat yang terbaik untuk penonton.
“Saya muat naik video sebenar supaya tiada spekulasi lagi, saya pun benarkan video tersebut disiarkan dalam siaran Astro sebab saya tahu, ada peminat mahu menonton suasana belakang pentas.
“Saya tak marah pun, itu nada suara saya yang mahu memastikan ear monitor saya dibuka dengan segera dan berjalan secara profesional ke depan pentas, terus menghayati dan menghiburkan penonton,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.