Cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan mendedahkan dirinya telah disahkan menghidap kanser limfoma.

Malah, dia juga berkongsi laporan biopsi yang diterima dan memaklumkan belum mempunyai sebarang simptom kanser berkenaan.
Dia mendapat perkhabaran tersebut selepas dua kali melakukan ujian electrocardiogram (ECG).
"Saya baru sahaja menjalani ujian ECG saya. Jam 3 petang doktor menyampaikan berita tentang keputusan biopsi saya.
"Mereka terpaksa menjalankan ujian sebanyak dua kali untuk memastikan keputusan itu. Saya sememangnya menghidap kanser limfoma," katanya.
Tambahnya, doktornya memaklumkan bahawa dia mempunyai peluang untuk sembuh antara 70 hingga 80 peratus.
Rawatan kimoterapi sebanyak 13 kitaran untuk jangka masa selama 13 minggu akan dilakukan secepat mungkin.
"Pada peringkat ini, peluang untuk sembuh biasanya adalah 70 hingga 80 peratus. Isnin ini, saya akan melakukan ujian sumsum tulang kerana kanser limfoma juga dikaitkan dengan sumsum tulang.
"Saya juga akan menjalani kimoterapi dan memulakan rawatan itu serta merta sebanyak 13 kitaran iaitu bermaksud selama 13 minggu," tulisnya di kapsyen.
Dia berterima kasih atas ucapan dan doa yang dititipkan buat dirinya dan menerima takdir dengan hati terbuka.
"Terima kasih atas semua doa dan ucapan anda. Tolong jangan risau kerana kita semua akan melalui ini bersama-sama... supaya kita boleh memberi inspirasi dan membantu orang lain di masa hadapan.
"Saya menerima semua ujian ini dengan hati terbuka dan keberanian. Inilah kehidupan... anda hanya perlu melaluinya satu demi satu dengan cara positif," jelasnya.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.