Pasangan selebriti Fazura dan Fattah Amin menyambut kelahiran puteri sulung mereka pada hari Jumaat.
Berita gembira ini dikongsikan sendiri oleh Fazura kepada masyarakat menerusi sebuah posting di akaun Instagram miliknya.
"Assalamualaikum. Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT. Kiriman agung pertama kami telah selamat dilahirkan pada hari Jumaat yang mulia ini, 14 Safar 1442 Hijrah bersamaan dengan 2 Oktober 2020.
"Cahaya mata perempuan yang sihat dan sempurna ini sangat membahagiakan kami berdua dan keluarga," kata Fazura.
Dalam masa sama, Fazura memohon agar diberikan ruang buat mereka merahsiakan nama dan wajah puteri mereka pada waktu ini.
"Kami ingin memohon sedikit masa bagi merahsiakan nama dan wajah anakanda tersayang sehingga selepas tujuh hari selaras dengan sunnah Rasulullah SAW. InshaaAllah," tulis Fazura lagi.
Sementara itu Fattah Amin meluahkan rasa bersyukur kerana Fazura selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka dalam keadaan lancar.
"Alhamdulillah, tiada ucapan yang lebih baik dari segala puji buat Allah yang memberi rahmat dan rezeki buat kami dikurniakan seorang cahaya mata yang sempurna dan cukup sifat di hari penghulu segala hari iaitu Jumaat.
"Saya sangat bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar. Kedua-dua Fazura dan anak perempuan kami berada dalam keadaan sihat," kata Fattah Amin.
Pasangan baru bergelar ibu bapa ini turut berterima kasih kepada semua yang telah mendoakan akan kebahagiaan mereka sejak awal pernikahan sehingga Fazura menjalani fasa kehamilan dan kini bergelar seorang ibu.
"Terima kasih kami ucapkan buat anda semua dikasihi, yang tidak henti-henti mendoakan kami bertiga sejak awal sehingga Fazura selamat melahirkan.
"Salam sayang dari kami bertiga," kata Fazura dan Fattah Amin.
Pengarah Urusan Universal Music, Kenny Ong, ikut teruja menyambut kehadiran cahaya mata Fazura dan Fattah.
"Saya ikut berbahagia mendapat khabar Fazura telah selamat melahirkan anak sulungnya. Saya ucapkan tahniah dan semoga menjadi ibu bapa yang terbaik buat bayi ini," kata Kenny Ong.
Terdahulu, Fattah mengumumkan Fazura hamil empat bulan sekitar April tahun ini setelah menikah selama dua tahun.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.