Isteri kepada pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar iaitu Datin Zulhaila Siregar Sulaiman menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 2 pagi, Jumaat di kediaman mereka di Bangsar, Kuala Lumpur.
Memetik laporan dari Harian Metro, Ahmad Tarmimi memaklumkan kali terakhir dia bercakap dengan Allahyarham pada jam 11 malam tadi (14 Mei).
"Selalunya setiap kali bangun solat tahajud dalam jam 2 pagi saya akan periksa dia dulu, tapi tadi tidak. Dalam jam 4 pagi baru saya periksa dan mendapati dia sudah tidak bergerak dan kaki pun sejuk.”
Ahmad Tarmimi berkata, keadaan kesihatan isterinya mula merosot sejak tiga tahun lalu selepas disahkan menghidap penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) tujuh tahun lalu.
"Sakit dialami sudah tujuh tahun, tapi mulai merosot sejak tiga tahun lalu yang mana dia sudah tidak boleh keluar rumah. Kalau keluar pun, kena bawa oksigen bersama. Itu pun sesekali saja.
"Sejak dua minggu lalu dia sudah tidak berapa ingat, malah minggu ini pernafasannya tidak menentu.
“Saya bercakap pada diri, saya reda jika Allah mahu mengambilnya. Ambillah dia.
"Macam semalam pun saya pujuk dia makan dan minum, tapi tak nak. Dia sempat cakap nak peluk anak bongsu yang baru pulang dari kerja," katanya.
Jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Zuhur, hari ini.
Zulhaila juga penerbit bersama filem Belukar lakonan Bront Palarae, Daphene Iking dan ramai lagi.
Zulhaila juga pernah membintangi filem Sepi pada 2008.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.