Penyanyi lagenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah berkongsi bahawa dia dan isteri, Datin Zai Izzati Khairuddin bakal menimang seorang putera pada September ini. Penyanyi berusia 61 tahun itu turut mendedahkan nama yang bakal diberikan kepada bayinya itu.
"Alhamdulillah, saya bakal menimang cahaya mata lelaki. Saya dan isteri sudah pun memilih nama untuknya. Kami sukakan nama El Isaac Yamani.
"Nama ini diambil sempena nama Nabi Ishak. Cuma ejaannya saya ubah. Selain itu, nama ini dipilih kerana saya mahu ada sebutan 'Zek' yang juga nama karakter saya dalam filem Azura," katanya.
Sebelum ini, Jamal dan Zai Izzati dikurniakan dengan kelahiran anak perempuan mereka yang diberikan nama Nur Azura Yamani pada Oktober lalu, selepas dua tahun mendirikan rumah tangga. Nama Nur Azura diambil sempena filem Azura lakonan Jamal bersama Fauziah Ahmad Daud menjadi pengikat kasih antara Jamal dan Zai Izzati yang melangsungkan pernikahan pada 1 April 2017.
Bagaimanapun pada April lalu, Jamal mengesahkan Zai Izzati kembali berbadan dua namun jantina anak keempatnya itu belum diketahui ketika itu. Bercerita mengenai kehidupannya selepas mempunyai anak kecil, penyanyi kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata, masanya kini banyak dihabiskan dengan anak berbanding sebelum ini.
"Walaupun ada pembantu rumah, tetapi dalam urusan mengasuh anak, saya dan isteri akan bergilir-gilir menjaganya. Isteri sedang sarat kerana kandungannya sudah memasuki enam bulan. Apabila sudah ada anak kecil, masa untuk diri sendiri semakin berkurangan.
"Fokus saya kini pada anak. Kalau dahulu, saya boleh pergi beriadah pada bila-bila masa, tetapi sekarang saya tak boleh keluar sesuka hati. Badan pun sudah tak 'fit' dan semakin berisi," katanya.
Dalam perkembangan lain anak sulungnya, Osama Yamani yang kini menggelarkan dirinya Yamani Abdillah terpilih untuk menyertai program realiti Big Stage yang memulakan konsert pertama pada Ahad lalu.
Sebagai seorang bapa, dia mengaku bahawa sudah tentu dia menaruh harapan besar untuk melihat kejayaan anaknya. Sebagai seorang penyanyi yang berpengalaman dalam industri, Jamal berkata, dia sempat menitipkan pesanan berguna kepada Yamani dari segi persembahan dan penyampaian.
"Dia ada maklumkan pada saya mengenai penyertaannya. Pesan saya, kalau itu yang dimahukan, kena buat betul-betul. Yamani perlu tahu perbezaan antara membuat persembahan dengan pertandingan. Jangan terlalu teruja atau ghairah ketika menyanyi.
"Yamani juga kena menonjolkan bakat bermain alatan muzik yang ada padanya untuk membezakan dirinya dengan peserta lain.
"Selain menyanyi dengan bersahaja dan menghayati lirik, Yamani ada kelebihan bermain alatan muzik. Gunakan kelebihan yang ada ketika membuat persembahan. Saya percaya bakat sampingan dapat membezakan dirinya dengan peserta lain," kata pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Mohd Ali.
Sumber: BH Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.