Polis buka kertas siasatan terhadap selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor selepas gambarnya yang memakai niqab tanpa pelitup muka ketika hadir di Kompleks Mahkamah Seremban pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner Mohd. Said Ibrahim berkata, kertas siasatan dibuka susulan Neelofa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka sepertimana diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ini termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh,” katanya.
Menurut Mohd. Said, penjelasan berkenaan SOP tersebut juga telah dikeluarkan oleh KKM setelah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos 2020.
“Oleh yang demikian, satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A)225/2021],” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa saja tindakan bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan peraturan yang ditetapkan oleh KKM sentiasa dipatuhi.
Pada Khamis, Noor Neelofa dan suaminya Muhammad Haris yang hadir ke Mahkamah Majistret Seremban di sini semalam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika berada di sebuah premis menjual karpet di Nilai 3 pada 2 Mei lalu.
Neelofa dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 atas satu pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar masuk ke premis.
Muhammad Haris pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.