Penyanyi dan pelakon, Erra Fazira mengakui bahawa tidak mengetahui tentang perkembangan hubungan bekas suaminya, Engku Emran bersama Noor Nabila sebelum mereka bernikah.
Memetik laporan Gempak, Erra berkata dia hanya tahu Nabila tetapi tidak mengenalinya secara dekat.
“Saya memang tak tahu mengenai hubungan mereka, saya sama sahaja seperti yang lain juga.
“Saya tahu Nabila, tetapi tidak mengenalinya secara dekta, kami pernah berjumpa pun sekali sahaja,” katanya.
Sejak bekas suaminya itu berkahwin, Erra turut berkata bahawa dia masih belum sempat bertemu dengan anaknya, Engku Aleesya.
“Saya masih belum berjumpa Aleesya sejak dia dapat mak baru ini disebabkan masa yang belum mengizinkan.
“Tapi saya sangat pasti yang dia okay sahaja, dia sayang adik baru dia Jayden, jadi saya rasa perkara ini tidak memberi masalah untuknya, setakat ini dia gembira sahaja, syukur Alhamdulillah,” katanya.
Primadona filem Malaysia itu turut berkata bahawa Aleesya sudah matang dan faham erti sebuah institusi perkahwinan.
“Saya rasa Aleesya matang dan tahu apa itu institusi perkahwinan, tanggungjawab ibu baru, tanggungjawab anak kepada ibu, tak kiralah ibu kandung atau ibu tiri.
“Alhamdulillah Aleesya bersikap positif, mungkin juga disebabkan dia sudah ada pengalaman mengalami perkara sebegini, jadi dia faham,” ujarnya.
Bahkan, Erra turut menitip pesanan khas buat anaknya, Aleesya.
“Saya hanya nak ucapkan untuk anak saya, semoga Aleesya menjadi anak yang solehah, baik dan taat tentunya kepada ayahnya dan juga ibu Nabila.
“Aleesya harus saling menyayangi dalam keluarga besar itu, be good anakku, make your Mom proud of you!” kata Erra.
Engku Emran dan Noor Nabila melangsungkan pernikahan dalam sebuah majlis ringkas di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail pada Jumaat lalu.
Engku Emran dan Erra Fazira berkahwin pada 25 Oktober 2007 dan bercerai pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang puteri, Engku Aleesya yang kini sudah meningkat usia 11 tahun.
Sumber: Gempak