Bekas peserta Gegar Vaganza Musim Ke-6, Roy atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi mengesahkan bahawa dirinya sudah bebas daripada jangkitan COVID-19 dan sudah discaj dari Hospital Sungai Buloh setelah seminggu menerima rawatan dan menjalani tempoh kuarantin.
Penyanyi lagu Ratna Ku itu berkongsi menerusi sebuah hantaran di laman sosial Facebook (FB) pada Rabu lalu.
“Alhamdulillah saya dah discharge dari hospital dan dah pulih (negatif) dari Covid level 4, level Covid kedua merbahaya selain paru-paru kiri saya dijangkiti kuman (Pneumonia) 90%.
“Saya ingin mengucapkan termia kasih yang tidak terhingga kepada semua sahabat di FB dan sahabat-sahabat, saudara mara dan peminat-peminat yang telah sudi mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan saya.
“Dan juga bantuan-bantuan yang telah saya terima walaupun tidak saya minta tetapi telah diusahakan dengan bersungguh-sungguh oleh saudara mara, rakan-rakan dan juga dari rakan-rakan persatuan kesenian di atas simpati dan ambil beratnya terhadap saya,” katanya.
Dalam hantaran itu, Roy turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga diri dengan sebaik mungkin agar tidak dijangkiti virus yang berbahaya itu.
“Saya harap tuan-tuan dan puan-puan semua dapat jaga diri sebaik mungkin untuk tidak dijangkiti Covid-19. Saya dah rasa, memang masalah besar.
“Hampir putus nyawa…Bila-bila boleh berlaku dan juga di mana-mana. Saya panjatkan doa kepada Allah SWT untuk kesejateraan dan keselamatan tuan-tuan dan puan-puan semua,” tulisnya lagi.
Selain itu, Roy turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Banting yang telah merawatnya.
“Saya ingin dedikasikan ucapan khas terima kasih tak terhingga kepada frontliners kita, staf hospital doktor, jururawat, pemandu ambulan di Hospital Banting dan Sungai Buloh yang bertungkus lumus menjaga dan mengubati saya selama saya berada di sana.
“Tahap kesabaran dan profesional mereka harus di puji setinggi-tingginya kerana tidak ada saya dengar keluh resah mereka ketika menjalankan tugas yang mungkin kita sendiri tidak mampu membuatnya.
“Mereka terus melemparkan senyum dan berkata dengan lembut walaupun dalam keadaan keletihan.
“Ini yang saya alami. Hanya Allah Sahara yang dapat membalas jasa mereka semua,” katanya.
Sebelum ini, dikhabarkan bahawa anak bongsu dan adik ipar Roy telah disahkan positif COVID-19. Namun, isterinya dan seorang lagi anaknya turut disahkan positif COVID-19 minggu lalu.
Sumber: Gempak
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.