Pengacara dan pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim berkongsi dia meminta izin kepada isteri pelakon Zamarul Hisyam iaitu Diana Rafar terlebih dulu sebelum menjayakan drama Ternyata Sebuah Bahagia arahan Nur Ain Sharif.

Malah, dia melakukan tindakan itu sebagai menjaga adab kerana rakan pelakon yang menjadi ‘heronya’ di dalam drama itu sudah berkeluarga.
“Sebelum mulakan penggambaran drama Ternyata Sebuah Bahagia ini, saya memang ada menghubungi Diana untuk meminta izin terlebih dulu kerana akan berlakon dengan suaminya, Zamarul. Ini kerana, pada saya ia sangat penting kerana itu adalah adab.
“Apabila dia (Diana) kata okay dan suami saya juga okay, baharulah kita dapat bekerja dengan tenang dan bebas untuk menjayakan watak digalas itu sebaik mungkin,” katanya.
Tambahnya, dia sendiri mengambil pendekatan itu untuk menjaga keharmonian rumah tangga masing-masing.
“Sangat penting untuk hero dan heroin yang sudah berkahwin serta berkeluarga menjaga batas sepanjang di lokasi penggambaran. Begitu juga antara saya dan Zamarul yang perlu ada limitasi.
“Sebagai pelakon, kita patut buat begitu (minta izin pasangan rakan lakon) kerana biar mereka tahu dan kita pun menjaga batasnya supaya tidak kelihatan melampau. Saya tidak mahu ada sebarang isu berbangkit nanti.
“Saya juga cakap kepada Zamarul yang kami perlu buat (lakonan) terbaik dalam bekerja. Walaupun drama ini ada banyak babak yang bersentuhan, berada di kelab malam dan sebagainya, tetapi kami tetap perlu ada batas,” katanya.
Dia juga menegaskan sangat bahaya kalau antara pelakon tak ada batas pergaulan kerana setiap perasaan di dalam drama itu hanya rekaan semata-mata dan harus berakhir di lokasi saja.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.