Shila Amzah, penyanyi berusia 34 tahun, mengambil langkah berani untuk berdepan dengan trauma lamanya selepas lebih sedekad dihantui kenangan pahit. Dia memilih Pulau Pinang sebagai destinasi percutian bersama suami, Ubai, dan keluarga.
Dalam perkongsiannya di Instagram, Shila, yang nama penuhnya Nurshahila Amir Hamzah, mengakui negeri itu membawa banyak episod gelap yang sukar dilupakan.
Namun, dia bertekad untuk membuka lembaran baru dengan mencipta memori indah di tempat yang sama.
“Ada beberapa insiden yang berlaku di Pulau Pinang yang menghantui saya. Sudah lebih 10 tahun saya berusaha untuk atasi semua itu. Baru-baru ini, kami bercuti bersama keluarga dan saya cadangkan Pulau Pinang. Saya mahu mencipta memori baru bersama mereka,” katanya.
Walau bagaimanapun, pelantun lagu "Masih Ada Cinta" itu tidak mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai trauma yang dihadapinya. Ketika menjawab soalan netizen tentang penyebab trauma tersebut, Shila melampirkan gambar matanya yang bengkak dan lebam, hanya meninggalkan emoji senyum tanpa memberikan penjelasan lebih lanjut.
Dalam hantaran yang sama, Shila juga berkongsi ragam anak perempuannya, Rhea Akira, yang tidak henti menangis akibat proses tumbuh gigi.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.