Baru-baru ini, album soundtrack digital dan juga video muzik (MV) runut bunyi filem (OST) terbaharu ‘SazaliMeorCoco (#Tetiber U-Tuber)’ berjudul ‘Tiga Raga’ telah dilancarkan.

Lagu-lagu tersebut merupakan nyanyian artis-artis Werkit Records seperti Razmansyah, Aliya Mazlan, Afiq Adnan dan juga Iman Zulkarnain.
Malah, lagu-lagu itu juga mendapat sentuhan daripada barisan komposer terkenal tanah air terbitan syarikat perfileman Aquila Emas Sdn. Bhd., manakala edaran oleh label hiburan popular negara, Rocketfuel Entertainment.
Album soundtrack digital yang memuatkan 6 buah lagu kesemuanya termasuk OST ‘Tiga Raga’, adalah ‘Nanti Dulu’ nyanyian Aliya dan Afiq Adnan, ‘Si Bisu’ juga nyanyian Afiq Adnan, manakala Iman Zulkarnain menyanyikan tiga buah lagu, ‘Tuju-tuju’, ‘Terukir Di Bintang’ dan ‘Mengapa Sayangku’ berkonsepkan pop akustik dengan ritma indie yang sesuai dengan selera pendengar masa kini.
Lagu ‘Tiga Raga’ yang diangkat sebagai OST filem ini selaras dengan jalan ceritanya mengenai tiga sahabat yang seakan bersaudara datang ke kota demi mengejar impian menjadi popular, setelah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman.
Mereka akhirnya berjaya mencapai apa yang diidamkan, namun semuanya musnah apabila masing-masing mula mengungkit sehingga mereka berpecah dan membuat haluan masing-masing.
Menurut Syakireen Othman, Ketua Muzik & Kandungan Rocketfuel Entertainment, beliau berbangga dengan kayra anak tempatan yang perlu diangkat untuk industri hiburan tanah air.
“Majlis pelancaran pada hari ini merupakan tanda sokongan Rocketfuel terhadap karya filem tempatan yang bermutu oleh Aquila Emas, dan kerjasama kreatif yang sudah lama terjalin membolehkan kolaborasi bernas ini berlaku.
“Semoga filem ini mendapat sambutan penggemar filem-filem tempatan serta jangan lupa mendengar kesemua lagu-lagu yang terkandung di dalam album digital ini,” katanya ketika majlis pelancaran album itu.
OST ‘Tiga Raga’ dan album soundtrack digital boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian.
Muzik video rasmi bagi semua lagu-lagu yang terkandung di dalam filem ini boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube AquilaEmasOfficial.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.