Pasangan selebriti popular, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel bakal membina sebuah masjid di kampung halaman Aeril di Kampung Rengit, Batu Pahat, Johor tak lama lagi.
Menurut Aeril, pembinaan masjid yang boleh muat kapasiti seramai 700 orang itu akan menggunakan duit keuntungan produk terbaharu, Muslim Bukhari yang dikeluarkan syarikat miliknya, Wawa Cosmetic.
"Idea ini datangnya daripada Wawa yang mendengar ceramah Ustaz Abdul Somad mengenai ganjaran di akhirat bagi individu yang mempunyai wang lebih, maka binalah masjid.
"Jadi, saya sudah berbincang dengan ketua kampung di Rengit dan pihak mereka bersetuju untuk membinanya dengan kos pembinaan sebanyak RM1.2 juta, yang mana kesemua duit itu dikumpul melalui hasil keuntungan produk berkenaan," katanya ditemui selepas pelancaran di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
Aeril turut berkata perancangan bina masjid itu tidak mendatangkan niat untuk menunjuk atau riak, sebaliknya hanya mahu berkongsi kebaikan dengan peminat untuk sama-sama mengumpul saham akhirat.
"Setiap orang yang membeli set produk Muslim Bukhari ini adalah penyumbang kepada dana pembinaan masjid yang dirancang, dan bukan hanya nama saya atau Wawa sahaja.
"Produk ini hanya dikeluarkan sebanyak 80 ribu unit dan tiada sebarang penambahan stok sebaik ia habis dijual.
"Jika produk ini mendapat sambutan dan habis dijual, maka dana yang diperlukan untuk membina masjid sudah lebih daripada cukup," katanya.
Bahkan, rata-rata warga net termasuklah penyanyi tanah air terkemuka, Datuk Siti Nur Haliza turut memuji perancangan pasangan tersebut.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.