Penyanyi, Yuna yang kian meningkat di persada antarabangsa kini kembali dengan single bahasa Melayu terbaru selepas 7 tahun.
‘MENANTI’ merupakan buah tangan baharu dan ia dihasilkan sepenuhnya oleh Yuna sendiri bersama penyanyi rap antarabangsa, penggubah lagu dan penerbit muzik yang berpangkalan di Berlin, Jerman, Kenny J Macartney dan diterbitkan oleh Yuna Music.

“Sudah 7 tahun rupanya, sehingga saya sendiri tidak sedar dengan peredaran masa yang pantas! Bagi saya, untuk menanti inspirasi itu datang adakalanya lambat dan tidak boleh dipaksa-paksa.
“7 tahun kebelakangan ini saya banyak fokuskan tenaga saya untuk pembikinan album terdahulu seperti ‘Chapters’, kemudian ‘Rouge’, dan yang terbaharu ‘Y5’, di mana setiap album saya harus persiapkan diri untuk siri jelajah sekitar Amerika Syarikat, dan pandemik COVID-19 melanda, terlalu banyak yang berlaku,” katanya.
Yunalis Mat Zara’ai atau mesra disapa Yuna menjelaskan kisah disebalik menarik single MENANTI.
Tambahnya, ia sebuah lagu cinta yang menceritakan tentang kerinduan mendalam terhadap seseorang yang jauh, seseorang yang telah pergi tetapi masih lagi terpatri di hati, sebuah ikrar setia MENANTI seseorang yang amat dikasihinya.
“Bagi saya, apabila menulis lirik lagu ini, saya terkenangkan Allahyarhamah sepupu saya, Amy, dia juga merupakan teman baik saya, hidup saya seakan hancur apabila mengetahui bahawa dirinya kini sudah pergi buat selamanya, jadi secara organiknya, saya curahkan jiwa saya ke dalam lagu ini. Ketika saya perdengarkan lagu ini kepada beberapa rakan artis, mereka merasa sedih walaupun bait-bait liriknya seperti lagu cinta,” jelasnya.
Malah, beliau juga tidak mahu terburu-buru untuk menghasilkan lagu bahasa Melayu lantasan komitmen di LA tetapi ia bukanlah alasan untuknya terus berkarya.
“Susah hendak berjanji dengan peminat di Malaysia setiap tahun kerana komitmen yang tinggi di LA, lagipun saya tidak suka menghasilkan sesuatu yang sambil lewa kerana tidak adil bagi peminat. Saya tidak percaya dengan kaedah ‘multi-tasking’ kerana itu adalah kesalahan terdahulu, kini saya lebih fokus terhadap satu-satu perkara dan hasilnya saya berjaya meraih beberapa pengiktirafan, di antaranya anugerah ‘Gold Record’ daripada RIAA (Recording Industry Association of America) bagi single ‘Crush’ yang dirakamkan bersama Usher, selain berpeluang berkolaborasi dengan artis ternama seperti Tyler the Creator, G-Eazy dan juga Pink Sweats.
Lagu yang berdurasi 3:05 minit ini nyata kedengaran ‘signature’ bunyi Yuna yang lazimnya, namun ada pembaharuan dalam susunan melodinya yang terasa segar dengan elemen kemelayuan yang cukup moden sesuai dengan statusnya sebagai penyanyi antarabangsa.
Malah, dia juga berbangga dan mahu untuk lebih fokus terhadap keluarga selain kerjayanya dalam bidang muzik.
“Saya bangga dengan diri sendiri kerana mengejar cita-cita yang bukannya untuk meraih pujian orang, dahulu saya seorang yang terlalu bekerja keras dan sebenarnya tidak bagus untuk diri saya, kini saya lebih fokus dengan perkara yang lebih penting seperti kesihatan, keluarga dan kehidupan.
‘Diam tak diam’, single ‘Dan Sebenarnya’ sudah pun berusia 15 tahun, kini Yuna kembali dengan single terbaharu dan sebuah EP yang direncanakan dilancarkan pada April ini, harap Yuna, “Semoga lagu ini mengingatkan anda tentang seseorang yang disayangi apabila mendengarnya.
“Dan juga, jangan lupa nantikan EP terbaharu saya yang mengetengahkan muzik ‘folk’ dan R&B!
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.