Kredit: dragonimages/Freepik.com
Kebanyakan orang kita lebih selesa makan gaji, tapi ramai juga yang berhempas-pulas bekerja demi mengumpul modal bagi memulakan bisnes sendiri pada masa hadapan. Sebelum memulakan bisnes, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira bagi memastikan bisnes anda mampu bertahan dan menguntungkan.
Jika anda ingin menceburkan diri dalam dunia bisnes tapi tak minat nak membuka syarikat startup dan from scratch, bak kata orang putih, anda boleh cuba mulakan bisnes fraincais kerana terdapat beberapa kelebihan yang tersendiri.
Tapi sebelum anda nak mulakan bisnes francais, ni lima perkara yang anda kena ambil tahu:
#1 Pastikan bisnes tersebut merupakan jenama yang terkenal dan diyakini ramai
Bisnes yang anda pilih mestilah merupakan jenama atau produk yang terkenal dan telah kukuh dalam pasaran. Pelanggan lebih cenderung untuk memilih jenama yang dikenali ramai berbanding dengan jenama baharu yang tidak dikenali atau kurang terkenal.
#2 Pastikan model perniagaannya telah terbukti dan berkesan
Melalui francais, anda tidak perlu lagi bereksperimen dalam perkara-perkara seperti pemilihan produk, susun atur kedai, SOP kerja, harga, gaji pekerja, tempoh operasi dan lain-lain. Semuanya telah ditentukan oleh francaisor. Jadi pastikan model perniagaannya telah terbukti berkesan.
#3 Pastikan anda boleh menerima latihan dan bimbingan berterusan oleh francaisor
Pengalaman tidaklah begitu diutamakan dalam mengendalikan operasi francais. Sejak awal, francaisor akan memberikan latihan secukupnya malah mereka akan sentiasa membuat health check ke atas prestasi bisnes anda dari semasa ke semasa. Tapi lebih baik kalau anda boleh menerima latihan dan bimbingan yang berterusan.
#4 Pastikan jenama tersebut bereputasi agar anda mudah mendapat bantuan pembiayaan
Pihak bank lebih mudah memberikan kelulusan pembiayaan kerana yakin dengan model bisnes yang dicadangkan oleh peminjam berdasarkan reputasi jenama francais tersebut.
#5 Pastikan anda boleh menerima faedah melalui promosi
Bisnes anda akan turut mendapat faedah daripada mana-mana iklan yang disiarkan oleh francaisor yang seterusnya boleh meningkatkan nilai jualan.
Jadi, bagaimana? Berminat tak nak mulakan bisnes francais? Jom lihat beberapa tips yang ada.
Apakah yang perlu dilakukan sebelum menyertai perniagaan francais?
Sebelum kita membuat keputusan untuk melaburkan wang kita di dalam sesebuah perniagaan francais, terdapat beberapa langkah penting yang perlu kita buat, iaitu:
#1 Dapatkan maklumat yang lengkap daripada francaisor
Fahami setiap terma dan syarat yang diberikan. Jangan buat keputusan dengan terburu-buru kerana ia melibatkan sejumlah modal yang besar. Tanyalah tentang kos permulaan, royalti bulanan dan kos-kos lain yang terlibat.
#2 Dapatkan maklumat daripada francaisi yang sedia ada
Ini sangat perlu bagi mendapatkan maklumat tambahan yang kita tidak akan dapat daripada francaisor. Kita boleh tanya tentang hasil jualan, trend jualan, komitmen francaisor terhadap francaisi dan sebagainya.
#3 Rujuk Persatuan Francais Malaysia
Banyak maklumat yang boleh diperolehi daripada pihak persatuan, memandangkan ia adalah satu badan yang bertanggungjawab dalam mengumpul hampir semua francaisor di Malaysia.
Berapakah kos yang diperlukan dan adakah terdapat tawaran pembiayaan bagi yang berminat untuk menyertai perniagaan jenis ini?
Kos permulaan untuk memulakan perniagaan francais bergantung kepada pakej yang ditawarkan. Ada yang serendah RM35,000 malah ada juga yang mencecah jutaan ringgit.
Kerajaan melalui rakan strategiknya iaitu Perbadanan Nasional Berhad dan Credit Guarantee Corporation ada menawarkan kemudahan pembiayaan bagi mereka yang ingin menceburi bidang francais, sama ada sebagai francaisor mahupun francaisi.
Kredit: KPDNHEP
Kerajaan juga pada masa kini giat mempromosikan pakej francais mampu milik yang bernilai RM100,000 ke bawah dan juga pakej francais mikro iaitu yang bernilai RM50,000 ke bawah.
Kalau anda berminat dan nak tau lagi lanjut, layari www.kpdnhep.gov.my.
Semoga artikel ini dapat menjadi panduan kepada anda dalam membuat pilihan yang tepat.