Kredit gambar utama: Pexels
Bila tiba hari gaji semua benda ingin dibeli, ibarat dunia ini kita yang punya, tetapi baru setengah bulan, poket dah kosong. Memang ‘sakit’ kan nak tunggu gaji bulan depan? Siapa yang selalu macam ni, 5 tip untuk survive sampai hujung bulan ini memang untuk anda!
#1 Carpool Ke Tempat Kerja
Bolehlah kurangkan kos minyak, bayaran parkir dan tol setiap hari bila berkongsi. Hari ni kita bawa kereta, esok kawan satu tempat kerja pula. Sekurang-kurangnya kita ada ekstra wang setiap bulan.
#2 Bawa Bekal
Lebih bersih, terjamin dan menjimatkan. Iyalah, sekali beli makanan tengah hari paling murah pun RM5, kadang kala sehingga RM10 seorang. Tetapi dengan jumlah yang sama kita boleh makan tengah hari dan malam jika bawa bekal makanan yang dimasak sendiri dari rumah.
#3 Guna Pengangkutan Awam
Jaringan pengangkutan awam di Malaysia pun dah semakin maju, mudah untuk ke mana-mana. Anda tak perlu meredah jem setiap hari, lagi pun kos menggunakan pengangkutan awam juga lebih menjimatkan berbanding memandu ke tempat kerja.
#4 Usah Makan Di Restoran Mewah & Hotel
Bayangkan berapa banyak anda boleh berjimat jika tidak makan di restoran dan hotel mahal? Sekali makan pun dah beratus ringgit terbang, kan?
#5 Kawal Diri Dari Berbelanja Berlebihan
Semua pun nak beli. Orang kata pantang nampak. Kadang kala barang yang dibeli tu tak dipakai pun, lebih bersifat kehendak. Yang rajin beli barangan online tu pun, kenalah tetapkan bajet bulanan ya.
Cakap pasal berjimat, tahukah anda 1/3 daripada makanan yang dihasilkan hilang atau dibazirkan di peringkat global? Jumlah ini bersamaan 1.3 bilion tan setiap tahun dan dianggarkan bernilai RM4.4 trilion. Dan jika kehilangan dan pembaziran makanan dapat dikurangkan sebanyak satu perempat, sebanyak 805 juta rakyat dunia yang kebuluran dapat dibantu.
Di Malaysia sahaja, sebanyak 15,000 tan lebihan makanan dibuang setiap hari. Daripada jumlah itu, 3,000 tan terdiri daripada makanan yang masih boleh dimakan dan antara 400 hingga 600 tan metrik sebulan pula datangnya daripada 430 cawangan pasaraya. Dengan pembaziran sebanyak ini boleh digunakan untuk membantu kira-kira 2.2 juta rakyat yang memerlukan makanan.
Atas keprihatinan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama badan-badan tertentu seperti pasaraya-pasaraya di Malaysia, Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen, lahirlah Program Foodbank Malaysia untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan.
Program Foodbank Malaysia ini, bertujuan memastikan makanan dapat disalurkan kepada rakyat yang memerlukan bagi membolehkan keluarga susah iaitu golongan miskin dengan pendapatan RM940 sebulan ke bawah dan miskin tegar dengan pendapatan bulanan RM580 ke bawah mempunyai lebihan wang untuk keperluan lain dan bantuan makanan serta barangan keperluan harian dapat diberikan kepada golongan ini.
Selain membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan bekalan makanan, Foodbank juga diharap dapat memberi kesedaran kepada pengguna akan kepentingan makanan, mengatasi pembaziran makanan yang masih boleh diguna semula dan mengurangkan kos operasi pasaraya serta mewujudkan struktur pengurusan lebihan makanan yang lebih tersusun dan terancang.
Nak tahu bagaimana anda boleh memainkan peranan? Layari portal KPDNHEP http://www.kpdnhep.gov.my/ untuk info lanjut.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.