Foto: Harian Metro
Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka akan menyaksikan lonjakan trafik yang ketara, dengan anggaran sekitar 140,000 kenderaan dijangka menggunakannya sempena Aidilfitri tahun ini, berikutan pembukaan beberapa bahagian tambahan lebuh raya tersebut.
Memetik laporan Berita Harian, Syed Mohammed Idid selaku Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Pembabitan Pihak Berkepentingan WCE, menyatakan bahawa unjuran ini sejajar dengan pola trafik yang berlaku semasa perayaan-perayaan besar sebelumnya seperti Tahun Baharu Cina, Deepavali, dan Krismas, di mana purata trafik harian (ADT) secara konsisten berada dalam lingkungan 130,000 hingga 150,000 kenderaan.
Menurut beliau, laluan antara Taiping Selatan dan Banting dijangka akan mencatatkan jumlah trafik paling tinggi di sepanjang WCE.
"Pada peringkat awal, selepas siapnya Seksyen 5, 8, 9 dan 10 pada 2019, jumlah trafik harian (ADT) hanya sekitar 60,000 kenderaan. Namun, dengan pembukaan persimpangan Assam Jawa (Seksyen 6) pada 20 November 2023, trafik meningkat kepada 70,000 kenderaan.
"Tren peningkatan ini berterusan dengan pembukaan Seksyen Taiping Selatan (Seksyen 11) pada malam Ramadan, 12 Mac yang lalu, yang menyempurnakan jajaran Perak dan meningkatkan ADT melebihi 80,000," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa dengan pembukaan Seksyen 1 Banting dan Seksyen 2 KESAS di Selangor, jumlah trafik semasa kini telah mencecah kira-kira 90,000 kenderaan.
Jelasnya, peningkatan trafik ini menggambarkan peranan penting WCE dalam memudahkan perjalanan semasa musim perayaan.
Selain itu, beliau menekankan bahawa komitmen WCE untuk memastikan perjalanan yang selamat dan lancar bagi semua pengguna jalan raya sepanjang tempoh perayaan.
"Pelaksanaan Seksyen 7, iaitu persimpangan keluar Tanjung Karang yang dijangka siap pada tahun 2026, diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut," tambahnya.
Sumber: Berita Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.