
Foto: Bernama
Siasatan dan pemeriksaan di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, akan dilakukan oleh 20 agensi.
Antara agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah di kawasan tersebut.
Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata setakat pagi ini, Jalan Persiaran Harmoni ditutup secara berperingkat untuk memudahkan pergerakan pasukan keselamatan, namun ia akan dibuka secara berperingkat kepada penduduk yang terjejas.
"Satu taklimat akan diadakan bersama semua agensi yang terbabit bagi menjalankan siasatan dan tindakan susulan perlu dilakukan di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata pihaknya telah memulakan beberapa langkah utama, termasuk penilaian kerugian terhadap rumah dan kenderaan yang terjejas akibat insiden letupan paip gas tersebut.
Beliau berkata, satu pasukan turut ditempatkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, jika berlaku insiden kebakaran.
"Kita akan bersama TNB untuk membuat penilaian situasi berhubung dengan pendawaian elektrik khususnya pada elektrik yang terdedah... kita akan melihat sama ada pendawaian itu selamat atau perlu tindakan lanjut bagi membolehkan kita buat penyambungan segera di kawasan itu," katanya.
Beliau berkata, JBPM turut mengerahkan pasukan dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, dan ibu pejabat untuk mempercepatkan proses siasatan serta memudahkan penduduk yang terjejas kembali ke kediaman mereka secepat mungkin.
Tinjauan setakat ini mendapati puluhan penduduk yang terlibat dalam insiden tersebut telah berkumpul di lokasi kejadian sejak 7.30 pagi untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status rumah mereka, selain menunggu giliran untuk pulang mengambil barang keperluan dan dokumen penting.
Selain itu, Pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Siasatan Forensik dari Bukit Aman turut dilihat memasuki lokasi kejadian pada pagi ini.
Setakat semalam, 364 mangsa daripada 74 keluarga terlibat dalam kebakaran tersebut dan telah ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu di Masjid Putra Height dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.