Selalunya kita dengar buku dibalut dengan kulit binatang seperti lembu, ular ataupun buaya. Tetapi kulit manusia? Ini bukan sahaja pelik tapi menyeramkan.
- Koleksi buku Dr. John Stockton Hough
Pada tahun 1869, Dr. John Stockton Hough, seorang ahli perubatan telah ditugaskan untuk melakukan autopsy ke atas kematian seorang wanita yang bernama Mary Lynch. Daripada autopsy tersebut, ternyata Lynch telah meninggal akibat jangkitan cacing yang teruk dalam badannya.
Sebelum menghantar mayat Lynch untuk dikebumikan, Dr Hough memotong kulit di bahagian peha Lynch dan disimpan dalam satu bekas di biliknya selama 20 tahun. Pada tahun 1887, Dr Hough menggunakan kulit Lynch sebagai kulit muka buku kepada tiga buah buku perubatan koleksi beliau. Ketiga-tiga buku tersebut kini berada di perpustakaan perubatan College of Physicians of Philadelphia.
- Des Destinées De L'ame
Buku yang disimpan di Universiti Harvard sejak tahun 1930 merupakan hasil karya penulis, Arsene Houssaye. Buku Des Destinées De L'ame atau ‘Destiny of the Soul’ itu pada awalnya tidak pun menggunakan kulit manusia sebagai muka depan buku itu. Sekitar tahun 1880, Houssaye menghadiahkan buku tersebut kepada rakannya Dr. Ludovic Bouland.
Bouland menjelaskan bahawa dia memang sengaja menjilidkan semula buku itu kepada kulit baru dan menyatakan bahawa buku itu berhak dilindungi dengan kulit manusia kerana inti pati buku tersebut menyentuh tentang kerohanian manusia.
Ternyata, kulit buku tersebut datang daripada tubuh seorang wanita yang merupakan salah seorang pesakit Dr. Bouland yang meninggal dunia semasa di bawah jagaan beliau dan tidak dituntut oleh mana-mana waris.
- Buku rekod jenayah Bristol
John Horwood adalah seorang penjayah yang berjaya ditahan dalam kes pembunuhan seorang wanita bernama Eliza Balsom pada tahun 1821. Horwood bertindak untuk membunuh wanita tersebut disebabkan cintanya yang tidak dibalas.
Selepas menyebabkan kematian Balsom, Horwood ditahan pihak polis, diberikan perbicaraan dan telah dijatuhkan hukuman gantung. Beberapa rakan Horwood mahu mengambil mayat rakan mereka itu memaksa pihak hospital untuk melakukan pengasingan pada mayat Horwood. Tulang dan tengkoraknya disimpan dan kini dipamerkan di Universiti Bristol, manakala kulitnya dikeringkan untuk digunakan sebagai muka depan buku rekod jenayah masyarakat di situ.
- Buku nota kecil William Burke
Kalau korang rasa nasib John Horwood selepas meninggal dunia itu dah teruk, belum lagi dengar kisah William Burke. Burke dan rakannya bernama William Hare merupakan penjenayah yang terlibat dalam pembunuhan 16 mangsa bunuh di Edinburgh, Scotland pada tahun 1828.
Pada waktu itu, kerajaan Scotland hanya membenarkan pusat-pusat pengajian perubatan sahaja menggunakan mayat-mayat penjenayah yang telah dihukum sebagai bahan uji kaji. Sebab itu lah, amat sukar untuk sekolah perubatan mendapatkan jasad, jadi Burke dan Hare adalah pembekal utama jasad bagi seorang doktor bernama Robert Knox.
Namun, kegiatan mereka itu terbongkar dan ketiga-tiga mereka telah ditangkap. Selepas melalui perbicaraan, Burke didapati bersalah selepas Hare mengakui bahawa Burke seorang sahaja yang membunuh kesemua mangsa itu. Pada 28 Januari 1829, William Burke telah digantung di hadapan 25,000 orang, dan jasadnya dibedah 3 hari kemudian dan dipisahkan di hadapan khalayak ramai di teater University of Edinburgh. Sebahagian daripada kulitnya telah dicuri oleh orang yang tidak diketahui.
Beberapa tahun kemudian, produk-produk seperti buku nota kecil dan bekas penyimpan kad yang dibaluti kulit William Burke telah dijual kepada orang ramai. Ternyata ramai yang berebut untuk memiliki barangan tersebut. Manakala, tengkorak Burke pula dipamerkan di Muzium Anatomi Sekolah Perubatan Edinburgh sebagai rujukan para pelajar di sana sehingga hari ini.
Sumber: iluminasi.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.