Ternyata perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja mampu mengurangkan kes baru jangkitan COVID-19, malah ia ternyata telah menarik perhatian seorang vlogger antarabangsa.
Dustin Pfundheller, seorang pengembara yang juga bekas doktor gigi, memuat naik video tentang kehebatan Malaysia dalam menangani wabak COVID-19 di akaun Facebooknya pada Sabtu lepas.
Pfundheller bukan sahaja memuji tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia malah turut kesal apabila banyak pihak termasuk dirinya sendiri, terlepas pandang akan kecekapan negara ini dalam mengawal penyebaran virus berkenaan.
"Malaysia pernah berada di tangga teratas dalam senarai jumlah jangkitan COVID-19 di Asia Tenggara. Tetapi kini jumlah pesakit semakin menurun.
"Malaysia adalah contoh bagaimana kita semua boleh menangani keadaan ini. Bagaimana sebuah negara yang mempunyai kes yang banyak, melaksanakan langkah yang betul untuk mengelakkan virus terus merebak.
"Sayangnya, tiada sesiapa bercakap tentang hal ini. Saya juga rasa bersalah kerana tidak memasukkan Malaysia dalam vlog senarai 15 negara terbaik dalam menangani COVID-19, yang saya muat naik sebelum ini," kata Pfundheller.
Video tersebut kini menerima 909,000 tontonan dan 50,000 perkongsian, malah menjadi topik bualan rakyat Malaysia. Ruangan komen di video berkenaan dibanjiri dengan komen positif dan kata-kata semangat rakyat Malaysia.
Sumber: Awani / Facebook
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.