Foto: Facebook
Pelakon Datuk Aaron Aziz mengesahkan telah menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh Sharina Richie, yang dikatakan menuntut pampasan sebanyak RM2 juta terhadap anaknya, Dwi Ariana.
Menurut Aaron, dia terkejut dengan tindakan itu dan tidak memahami sebab anaknya menjadi sasaran saman tersebut.
“Pagi tadi saya terima LOD yang agak mengejutkan sebab pihak sana nak saman anak saya RM2 juta. Saya tak faham apa salah anak saya — dia cuma bertanya dan beri pendapat. Bukan hina atau maki sesiapa,” katanya kepada Gempak.
Tambahnya, sebagai bapa, dia tidak akan berdiam diri dan akan membela anaknya.
“Kami tak mahu kacau emosi anak, tapi bila pihak sana sudah muat naik video dan sebut nama dia, saya kena tampil untuk pertahankan anak saya,” ujarnya.
Dalam masa sama, isterinya Datin Diyana Halik turut menegaskan bahawa mereka akan meneruskan tindakan saman terhadap pempengaruh berkenaan, dan menyerahkan urusan lanjut kepada peguam mereka, Mahmud Jumaat.
Terdahulu, kontroversi tercetus selepas tular video suntingan yang menggambarkan seolah-olah Aaron mempertikaikan tindakan aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), sehingga menerima kecaman netizen.
Aaron kemudian tampil menjelaskan bahawa video tersebut telah disunting dan menggesa orang ramai menonton rakaman penuh sebelum membuat andaian.
Anaknya, Dwi Ariana turut mempertahankan ayahnya menerusi media sosial, yang kemudiannya mencetuskan reaksi balas daripada Sharina.
Sharina dilaporkan membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ancaman, selain menyatakan tindakan LOD itu dibuat kerana berasa diperlekeh walaupun sudah memohon maaf secara terbuka.
Sumber: Gempak
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.