
Foto: Instagram
Penyanyi dan pelakon popular, Abby Abadi kini sedang menerima rawatan di hospital selepas mengalami demam panas ketika membuat persembahan dalam Konsert Elite pada Sabtu lalu.
Menurut Abby, 46, kesihatannya mula terganggu sehari sebelum konsert sewaktu sesi latihan di Plenary Hall, KLCC.
“Balik dari latihan terus rasa tak sedap badan, tapi masih terkawal. Keesokan paginya sebelum konsert ada latihan lagi, masa tu badan makin lemah. Saya tetap kuatkan semangat untuk teruskan juga,” katanya.
Walaupun berdepan sakit tekak dan selesema, Abby tetap tampil bersama anggota Elite di pentas. Namun, keadaan fizikal yang lemah membuatkan fokusnya terganggu sepanjang persembahan.
“Serius, badan terlalu lemah. Itu yang hilang fokus. Saya minta maaf kepada semua, terutama rakan Elite, X Factor dan penonton yang hadir,” ujarnya.
Selepas konsert berakhir, Abby segera dibawa ke hospital apabila suhu badannya meningkat sehingga 40 darjah Celsius. Hasil pemeriksaan darah mendapati dia dijangkiti influenza.
“Sekarang masa untuk berehat seketika. Konsert sudah pun selesai, semoga ia menjadi kenangan indah buat semua,” tulisnya di media sosial sambil berharap ada hikmah di sebalik ujian kesihatan yang dialaminya.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.