Foto: Instagram
Pelakon terkenal Indonesia, Acha Septriasa, kini sah bercerai dengan suaminya, Vicky Kharisma, selepas lebih lapan tahun melayari bahtera perkahwinan.
Perkara tersebut disahkan menerusi dokumen rasmi Mahkamah Agama Jakarta Pusat, yang turut tular di media sosial dan laman sesawang rasmi Mahkamah Agung Republik Indonesia. Menurut laporan beberapa portal tempatan, keputusan penceraian itu telah dimuktamadkan oleh mahkamah pada 19 Mei 2025.
Berdasarkan maklumat rekod kes dengan nombor 1619/Pdt.G/2024/PA.JP, Acha atau nama penuhnya Jelita Septriasa binti IR Sagitta Ahimsha telah mengemukakan permohonan cerai terhadap suaminya pada 13 Disember 2024.
Mahkamah kemudian menjatuhkan keputusan secara verstek, iaitu penghakiman tanpa kehadiran pihak defendan, setelah Vicky tidak hadir ke prosiding walaupun telah dipanggil secara sah mengikut prosedur undang-undang.
Hasil keputusan mahkamah, talak satu ba’in shughra telah dijatuhkan ke atas pasangan tersebut, yang bermaksud mereka kini bercerai secara rasmi tanpa kemungkinan untuk rujuk semula kecuali dengan akad nikah baharu. Kos perbicaraan sebanyak Rp2,358,000 (kira-kira RM700) telah dikenakan kepada pihak plaintif, iaitu Acha.
Untuk rekod, Acha dan Vicky mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2016. Sejak awal perkahwinan, pasangan itu menetap di Sydney, Australia, di mana Vicky bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat dan Acha aktif sebagai pelakon dan penerbit.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Bridgia Kalina Kharisma yang dilahirkan pada 21 September 2017.
Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan ini mula diperkatakan oleh warganet apabila Acha memuat naik satu hantaran di Instagram disertakan dengan tanda pagar #coparenting, yang merujuk kepada penjagaan anak secara bersama antara ibu bapa yang telah bercerai.
Walaupun kehidupan peribadi Acha sebelum ini jarang terpalit kontroversi, pengumuman rasmi mengenai perceraian ini nyata mengejutkan ramai peminat dan pemerhati industri hiburan tanah air.
Kini, Acha dilaporkan kembali aktif dalam dunia lakonan. Beliau bukan sahaja terlibat dalam penggambaran filem Qodrat 2, malah turut membahagikan masa antara Jakarta dan Sydney bagi menjayakan pelbagai projek filem bersama penerbit dari kedua-dua negara.
Sumber: Detik News
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.