
Foto: Sinar Harian
Kanak-kanak berusia 10 tahun yang dipercayai tercekik gula-gula 'gummy' mata telah dilaporkan meninggal dunia pada 11 malam, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, khabar duka itu telah disahkan oleh ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, ketika dihubungi.
"Fahmi (Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin) menghembuskan nafas terakhir kira-kira 11 malam tadi.
"Dia meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya ringkas.

Foto: Harian Metro
Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berkata anak lelakinya menghembuskan nafas terakhir selepas dia dan isterinya, Nuraini Mohamad Isa, 37, menyatakan bahawa mereka reda dengan pemergiannya.
“Tiada lagi anak yang ceria, Fahmi hembus nafas terakhir di sisi ibu dan baba. Kami beritahu reda jika dia hendak pergi, dan dia pergi dengan tenang selepas isteri saya bisik kalimah syahadah di telinganya.
“Saya reda walaupun secepat ini dia ‘pergi’, sekurang-kurangnya dia tidak lagi menanggung kesakitan,” katanya.
Fakhruddin menjelaskan, anak lelakinya yang berusia 10 tahun itu menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan cukup tenang, seolah-olah dalam keadaan sedang tidur.
“Ada air mata bertakung di matanya, dia pergi dalam keadaan cukup tenang seolah-olah sedang tidur. Adik, Nufa Fakhira (4 tahun) dan neneknya juga datang melawat Mohamad Fahmi petang tadi (petang semalam).
“Nufa menangis panggil abangnya dan mengajak mandi kolam bersama,” jelasnya.
Menurut Fakhruddin, jenazah Fahmi dijangka dibawa pulang ke Permatang Binjai, Penaga selepas urusan bedah siasat selesai.
“Tangan yang menjaganya sejak kecil akan mandikan dan kafankannya, saya tidak pasti bagaimana akan saya lakukan nanti. Terima kasih kepada semua yang mendoakan anak saya,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Fahmi, yang berada dalam keadaan kritikal dipercayai akibat tercekik gula-gula kenyal telah menghembuskan nafas terakhir pada Khamis.
Difahamkan, Fahmi membeli gula-gula tersebut di luar kawasan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.
Kejadian berlaku sekitar jam 2.30 petang, apabila mangsa tiba-tiba rebah ketika dalam perjalanan ke tandas. Guru yang menyedari situasi itu segera menghubungi pasukan perubatan untuk mendapatkan bantuan.
Sebaik tiba, pegawai kesihatan berjaya mengeluarkan gula-gula yang tersekat di mulutnya. Namun, Fahmi masih tidak menunjukkan sebarang reaksi dan kekal tidak sedarkan diri.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.