Foto: Facebook
Tragedi yang mengorbankan enam sekeluarga akibat lemas selepas kenderaan mereka terjunam ke dalam Sungai Korok, Kedah, terus meruntun hati rakyat Malaysia. Dalam insiden menyayat hati itu, hanya seorang anak terselamat iaitu Putri Qisya Nur Izzat, 12 tahun, yang ketika kejadian berada di rumah neneknya di Jerlun.
Adik kepada mangsa lelaki, Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, meluahkan rasa hiba dan kehilangan yang mendalam melalui satu hantaran di laman Facebook miliknya, selain menyatakan tekad untuk menjaga anak saudara yang kini menjadi satu-satunya waris kepada pasangan tersebut.
“Moga Allah beri kekuatan untuk saya terus kuat demi anak abang yang seorang ini, Putri Qisya,” tulisnya, menyentuh hati warganet yang mengikuti perkembangan tragedi tersebut.
Mangsa yang terkorban ialah Mohamad Azim Izat, 32; isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; serta empat anak mereka: Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, bayi berusia enam bulan. Kesemua mereka ditemukan lemas di dalam kereta jenis Proton Iswara yang dipercayai terbabas sebelum terjunam ke sungai pada awal pagi Sabtu lalu.
Menurut Nur Adliah, beliau masih terkesan dengan detik terakhir bersama abang, kakak ipar dan anak-anak saudara mereka, memandangkan malam sebelum kejadian, mereka sekeluarga sempat menjamu selera dan bergurau seperti biasa.
“Masya-Allah, sayu hati saat ini, macam tak sangka semua ini berlaku. Padahal malam itu kami makan nasi, sembang dan bergelak macam biasa,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pemergian enam sekeluarga itu sebagai satu kematian yang dicemburui kerana keperibadian mereka yang disenangi ramai serta doa tidak putus-putus yang hadir dari seluruh negara.
“Kematian yang sangat-sangat dicemburui, seluruh Malaysia mendoakan abang sekeluarga. Hebat abang sekeluarga,” tulisnya lagi.
Dalam nada penuh emosi, Nur Adliah menegaskan bahawa beliau bersama suaminya, Fahmy, akan menepati janji kepada arwah untuk menjaga Putri Qisya sebaik mungkin.
“Cadak (panggilan mesra Nur Adliah) dan Fahmy akan tepati janji untuk jaga anak abang, insya-Allah.”
Beliau turut mengenang hubungan erat yang terjalin dengan arwah abang dan kakak iparnya, yang sentiasa bersamanya dalam saat susah dan senang.
“Kita pergi mana-mana semua sekali, abang dengan Kak Dayah lah sentiasa ada waktu susah senang Cadak dan suami. Apa-apa memang semua kita sama-sama. Insya-Allah kami kuat, kami rasa puas sangat dengan momen saat-saat akhir kita, akan kami simpan segalanya.”
Dalam satu hantaran berasingan, beliau menyifatkan kehilangan tersebut sebagai amat berat, lebih-lebih lagi kerana kehilangan satu-satunya abang dan seorang kakak ipar yang sangat baik.
“Cadak dan Fahmy saksi atas segala kebaikan hampa,” katanya menutup hantaran itu dengan penuh rasa syukur dan doa.
Tragedi ini bukan sahaja mengejutkan keluarga mangsa, tetapi turut menyentuh hati rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kejadian dengan penuh simpati. Semoga keluarga yang ditinggalkan terus diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan dalam redha dan ketabahan.
Sumber: Facebook
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.