Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah mula dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, ekoran daripada penularan kes jangkitan COVID-19 dikawasan ini.
Sepanjang PKPB yang telah pun bermula tengah malam tadi sehingga 27 Oktober nanti, tiada rentas daerah dibenarkan dan hanya dua orang dibenarkan untuk keluar membeli barangan keperluan.
Memetik sumber dari Awani, berikut adalah SOP rasmi untuk PKPB di Selangor, KL dan Putrajaya:
Apa yang DIBENARKAN
1) Hanya dua orang saja dibenarkan keluar dari rumah bagi mendapatkan bekalan makanan serta keperluan lain. Individu berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.
2) Aktiviti Ekonomi dalam kawasan PKPB
Semua aktiviti perniagaan, ekonomi dan industri boleh beroperasi.
i) Restoran, kedai / gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera / pusat penjaja, gerai makan tepi jalan / kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 10.00 malam.
ii) Pembelian makanan digalakkan secara pandu lalu, penghantaran (delivery) atau take-away sahaja. Bagaimanapun makan di premis makanan (dine in) adalah dibenarkan namun ia terhad kepada empat orang satu meja (terkini) dengan pematuhan SOP Sektor Makanan.
Operasi pasar harian adalah antara 6.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja.
Operasi pasar borong adalah antara 4.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja.
Operasi pasar tani adalah antara 6.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Operasi pasar malam adalah antara 4.00 petang hingga 10.00 malam.
Waktu operasi Stesen Minyak adalah antara 6.00 pagi hingga 10.00 malam (kecuali pengoperasian Stesen Minyak di lebuhraya dibenarkan beroperasi 24 jam).
Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas Ekspres, LRT, teksi/ e-hailing dibenarkan beroperasi.
Perkhidmatan teksi/ e-hailing, (maksimum hanya dua orang penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.
Bagi kenderaan yang membawa pekerja, mereka boleh membawa penumpang seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.
3) Perubatan dan kesihatan
Aktiviti sektor ekonomi dan industri di kawasan PKPB berjalan seperti yang ditetapkan dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.
Semua kenderaan berkaitan industri, perniagaan, perkilangan yang dibenarkan boleh beroperasi seperti biasa termasuk merentas daerah dan negeri.
4) Perikanan, Perladangan dan Pertanian
Sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan dibenarkan beroperasi.
5) Pelabuhan dan Lapangan Terbang
Aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi.
6) Aktiviti Keagamaan
Mesyuarat bersetuju mencadangkan bagi mengimarahkan masjid untuk membenarkan azan dan mendirikan solat lima waktu dengan kehadiran enam orang jemaah yang ditentukan oleh jawatankuasa masjid termasuk imam.
Pengurusan dan petugas di semua rumah ibadat bukan Islam dibenarkan seramai enam orang sahaja.
Bagaimanapun cadangan ini akan dibawa kepada JAKIM dan Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor untuk diperkenankan.
Keputusan lanjut akan diumumkan oleh JAKIM dan Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor dalam masa terdekat.
7) Aktiviti Sukan
Aktiviti sukan secara individu, e-sports, sukan yang tidak bersentuhan dan sukan outdoor yang tidak melebihi 10 orang adalah DIBENARKAN.
Bagi proram latihan berpusat yang sedang dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri-negeri boleh diteruskan secara Quarantine Based Approach seperti yang dilaksanakan di Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil dan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kg Pandan.
8) Pendidikan
Pelajar sekolah, IPTA, IPTS yang mengambil peperiksaan dengan institusi pengajian luar negara, mereka dibenarkan untuk hadir menduduki peperiksaan sahaja dan bukan untuk sesi pembelajaran.
Apa yang TIDAK DIBENARKAN
1) Kawalan Pergerakan
Pergerakan keluar masuk merentas daerah dan negeri yang melibatkan kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan kecuali:
i) Bagi kes kecemasan seperti sakit dan pengurusan jenazah di luar daerah adalah dibenarkan tapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak PDRM.
ii) Pekerja-pekerja dibenarkan untuk merentas daerah dan negeri dengan syarat mempunyai pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan.
iii) Bagi mereka yang perlu melalui negeri Selangor dan Kuala Lumpur ke negeri-negeri lain, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada balai polis berhampiran sebelum membuat perjalanan.
iv) Individu yang menggunakan pergerakan udara melalui KLIA, KLIA2 dan Subang, mereka juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak PDRM.
2) Aktiviti Riadah, Rekreasi dan Budaya
Semua aktiviti riadah, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan. Aktiviti hiburan termasuk kelab malam atau pub, pusat rekreasi, taman tema, indoor playground dan panggung wayang adalah tidak dibenarkan.
3) Aktiviti Sukan
Aktiviti kolam renang, bersentuhan fizikal, sukan bertempur dan penganjuran sukan/kejohanan TIDAK DIBENARKAN.
Acara dan pertandingan sukan dengan kehadiran penonton, dan acara dan pertandingan sukan yang melibatkan peserta dari luar negeri TIDAK DIBENARKAN.
4) Pendidikan
Institut Pengajian Tinggi Awam & Swasta, Institut Latihan Kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz dan pusat jagaan kanak – kanak ditutup dalam tempoh ini.
5) Seminar / Bengkel / Persidangan
Seminar/Bengkel/Kursus/Latihan/Persidangan/Ceramah dan aktiviti berkaitan dengan Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) tidak dibenarkan.
Latihan dalam perkhidmatan yang sedang berjalan boleh dilaksanakan hanya dalam kawasan latihan sahaja.
6) Mesyuarat
Mesyuarat perlu diadakan secara sidang video manakala mesyuarat secara bersemuka adalah tidak digalakkan.
7) Penganjuran Majlis Keramaian
Majlis Rasmi dan Tidak Rasmi Kerajaan dan Swasta, Majlis Sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion dan lain-lain majlis sosial adalah tidak dibenarkan.
8) Pelancongan
Semua aktiviti pelancongan ke luar kawasan PKPB dan ke dalam kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan.
Sumber: Astro Awani