Foto: Instagram
Penyanyi dan selebriti kelahiran Singapura, Aliff Aziz, menyatakan bahawa beliau tidak berasa cemburu terhadap kebahagiaan bekas isterinya, Bella Astillah, malah mendoakan yang terbaik buat wanita itu yang kini dilihat semakin ceria menjalani kehidupan selepas perceraian mereka.
Menerusi laporan Berita Minggu Singapura, Aliff, 34, mengakui beliau reda dengan segala ketentuan hidup dan memilih untuk terus memberi fokus kepada dirinya.
Dalam masa yang sama, beliau turut terbuka dengan hubungan baharu Bella, yang kini sering dikaitkan dengan figura politik popular, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hingga tular dengan gelaran ‘BASS’ yang merujuk kepada nama gabungan mereka.
“Apa yang berlaku, saya anggap sudah berlalu. Kini saya hanya mahu tumpukan kepada diri saya,” ujarnya.
Bagi Aliff, perkara paling penting adalah memastikan dua anak mereka, Ayden dan Ara, terus dikelilingi oleh insan-insan yang menyayangi mereka sepenuh hati.
“Ayden dan Ara dikelilingi oleh orang-orang yang menyayangi mereka, insya-Allah.
“Siapa pun yang berada di sekeliling mereka, asalkan mereka disayangi dan dilayan dengan baik, itu sudah mencukupi buat saya,” katanya penuh harapan.
Meskipun sudah lama tidak berpeluang bertemu dengan anak-anaknya sejak tahun lalu, Aliff tetap bersyukur kerana anak-anaknya berada dalam jagaan yang baik. Namun, beliau mengakui perasaan rindu yang mendalam sering menyelubungi dirinya, sehingga sukar untuk menonton video rakaman mereka hingga habis kerana terlalu sebak.
“Saya sangat rindu. Doa saya setiap hari adalah untuk dapat melihat mereka semula dan menyampaikan segala yang saya simpan dalam hati.
“Daddy sentiasa ingat dan mendoakan Ayden dan Ara. Saya sangat sayang dan rindukan kalian berdua,” luahnya penuh emosi.
Dalam temu bual sama, Aliff turut berkongsi perasaan bersalah kerana tidak dapat menyaksikan proses pembesaran anak-anaknya dari dekat. Beliau berharap suatu hari nanti takdir akan mempertemukan mereka semula, agar dia berpeluang menjelaskan segala yang terbuku selama ini.
Sejak akhir-akhir ini, nama Bella menjadi perhatian media dan warganet susulan dakwaan hubungannya bersama Syed Saddiq. Pasangan itu dikatakan mula rapat selepas bergandingan sebagai duta bagi sebuah jenama pakaian terkenal.
Untuk rekod, Bella dan Aliff telah disahkan bercerai dengan talak satu pada 13 Jun tahun lalu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga. Selepas perceraian tersebut, Aliff bersetuju memberikan hak penjagaan penuh ke atas dua cahaya mata mereka, Ayden yang kini berusia 8 tahun, dan Ara yang berumur 5 tahun, kepada Bella.
Sumber: Berita Minggu Singapura
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.