Tahukah anda? Kajian membuktikan bahawa amalan berjalan kaki sama ada secara santai atau pantas sehingga 10,000 langkah setiap hari mampu meningkatkan kadar metabolisme badan dan menjaga kesihatan mental.

Malah, amalan ini juga boleh mengurangkan risiko kematian pada awal usia.
Menurut Pensyarah dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Aidalina Mahmud, beliau memaklumkan gaya hidup tidak sihat menyebabkan masyarakat kurang melakukan aktiviti kardiovaskular.
Tambahnya, berjalan kaki selama 10 hingga 15 minit setiap hari mampu membakar lebih banyak kalori dan meningkatkan produktiviti.
“Kita digalakkan untuk berjalan 10,000 langkah setiap hari kerana ia pergerakan paling mudah dilakukan dan masyarakat perlu menjadikan aktiviti ini sebagai rutin.
“Jalan kaki untuk tujuan kesihatan ada dua jenis iaitu berjalan santai dan berjalan pantas. Berjalan santai ini sangat bagus untuk kesihatan mental manakala berjalan pantas boleh membakar lemak dan mengurangkan berat badan.
“Aktiviti seperti ini perlu dijadikan budaya kerana rakyat Malaysia kurang gemar melakukan aktiviti fizikal. Misalnya jika ke pasar raya kita lebih suka meletakkan kenderaan hampir dengan pintu utama berbanding berjalan jauh,” katanya.
Tahun lalu, kajian yang diterbitkan dalam European Journal of Preventive Cardiology mendapati berjalan sekurang-kurangnya 3,967 langkah sehari mula mengurangkan risiko kematian daripada sebarang sebab, dan 2,337 langkah sehari mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung dan saluran darah.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.