
Foto: Instagram
Kemunculan penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search bersama isterinya, Datin Norhasniza Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam baru-baru ini menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Menerusi foto yang dimuat naik oleh Norhasniza atau mesra disapa Norish di Insta Story, pasangan itu dilihat bergambar bersama kenalan mereka iaitu peguam tersohor, Datuk M. Raja Reza Hassan dan isteri. Bagaimanapun, tujuan kehadiran mereka ke balai polis tersebut tidak dinyatakan secara jelas.
“Bersama insan dihormati Datuk Reza dan Datin Riza. Gembira bertemu kalian berdua. Terima kasih,” tulis Norish ringkas dalam kapsyen.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 66, kelihatan ceria berada di sisi isterinya dalam gambar berkenaan, meskipun dirinya masih hangat diperkatakan susulan kontroversi melibatkan penyanyi Shila Amzah.
Isu tercetus apabila Amy didakwa bertindak mengherdik Shila secara terbuka dalam satu acara, dipercayai berpunca daripada ciapan penyanyi wanita itu yang menyokong kenyataan anak Amy, Nabila Huda berkaitan isu "ibu tiri".
Rentetan insiden itu, nama Norhasniza turut disebut-sebut memandangkan ciapan Shila dipercayai merujuk kepada dirinya sebagai ibu tiri Nabila. Seterusnya, Nabila turut berkongsi beberapa hantaran sindiran di media sosial yang seakan merujuk kepada seorang individu rapat dalam hidupnya.
Sehingga kini, Amy dan isterinya masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi kepada media, dan usaha menghubungi mereka masih tidak berhasil apabila panggilan telefon tidak dijawab.
Kehadiran mereka di IPD Shah Alam tanpa penjelasan lanjut terus menimbulkan persoalan, adakah ia berkait dengan isu semasa atau hanya sekadar kunjungan biasa.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.