Pilu hati seorang ibu apabila melihat anaknya sendiri cedera di depan mata akibat sebuah kenderaan pacuan empat roda yang tiba-tiba membuat pusingan U sehingga melibatkan kemalangan.

Anaknya penunggang motosikal itu putus kaki kiri apabila merempuh kenderaan itu di Jalan Budiman, Kuala Terengganu semalam.
Mangsa, Muhammad Adam Muqlis Abdul Aziz terlibat kemalangan yang berlaku di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek pada 6.50 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, pihaknya memaklumkan siasatan awal mendapati kemalangan berpunca selepas kenderaan Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 23 tahun dikatakan tiba-tiba membuat pusingan U di hadapan SMKA Sheikh Abdul Malek.
“Motosikal Honda EX5 yang ditunggangi mangsa dari arah lampu isyarat Jalan Budiman gagal mengelak lalu merempuh kenderaan Toyota Hilux terbabit.
“Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah sehingga kaki kirinya putus di lokasi kejadian,” katanya.
Mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sumber: Kosmo Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.