Foto: Astro AWANI
Saintis Australia bersama rakan penyelidik antarabangsa memberi amaran bahawa Antartika kini sedang berdepan perubahan mendadak yang berpotensi tidak dapat dipulihkan terhadap ais, lautan dan ekosistemnya, dengan kesan bencana besar kepada generasi akan datang.
Menurut kenyataan Universiti Nasional Australia (ANU), kajian menunjukkan Lapisan Ais Antartika Barat berada dalam keadaan berisiko untuk runtuh akibat peningkatan kadar karbon dioksida. Kejatuhan lapisan ais ini berkemungkinan meningkatkan paras laut melebihi tiga meter sekali gus mengancam bandar-bandar pesisir di seluruh dunia.
Pengarang utama kajian tersebut, Nerilie Abram yang merupakan ketua saintis di Bahagian Antartika Australia di bawah Jabatan Perubahan Iklim, Tenaga, Alam Sekitar dan Air, menegaskan keruntuhan sebegini akan membawa kesan buruk yang tidak dapat dibayangkan terhadap masa depan umat manusia.
Abram yang menjalankan penyelidikan ini ketika berkhidmat sebagai profesor sains iklim di ANU turut menjelaskan bahawa tanda-tanda perubahan pantas telahpun dapat diperhatikan di Antartika dan keadaan tersebut akan menjadi semakin buruk dengan setiap peningkatan pecahan darjah pemanasan global.
Kehilangan ais laut di rantau itu menjadikan rak ais terapung lebih mudah runtuh akibat ombak, sekali gus menjejaskan keseimbangan semula jadi kawasan tersebut. Apabila ais laut hilang dari permukaan, jumlah haba suria yang diserap oleh sistem iklim turut meningkat, lalu mempercepatkan lagi pemanasan Antartika.
Seorang lagi pengarang bersama, Profesor Matthew England dari Universiti New South Wales, Australia berkata, perubahan iklim ini memberi ancaman besar kepada negara-negara dunia apabila paras laut meningkat dan komuniti pesisir berdepan risiko. Beliau turut menegaskan Lautan Selatan yang semakin panas dan kekurangan oksigen akan menyerap lebih sedikit karbon, lalu memburukkan lagi keadaan pemanasan global.
Selain itu, kejatuhan ais laut Antartika juga mengancam ekosistem marin. Habitat pembiakan penguin maharaja yang bergantung pada ais stabil dilihat semakin terancam, manakala kril, anjing laut serta fitoplankton juga berada dalam risiko akibat pemanasan dan pengasidan lautan. England menambah, salah satu risiko terbesar adalah keruntuhan peredaran semula Antartika yang menyebabkan nutrien penting terperangkap di dasar laut dan mengganggu keseluruhan rantaian makanan marin dunia.
Kajian tersebut turut menekankan bahawa usaha pemuliharaan melalui Perjanjian Antartika sahaja tidak memadai untuk menghentikan kesan perubahan iklim. Pengurangan pelepasan gas rumah hijau hampir kepada sasaran 1.5 darjah Celsius adalah langkah paling penting untuk mengelakkan perubahan mendadak yang lebih dahsyat pada masa hadapan.
Penemuan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature ini menegaskan keperluan mendesak agar kerajaan, sektor perniagaan dan komuniti antarabangsa memberi perhatian serius terhadap perubahan pesat yang berlaku di Antartika serta memasukkannya dalam perancangan dasar iklim masa depan.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.