Foto: Facebook
Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar prosiding inkues dijalankan bagi menyiasat kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.
Perkembangan ini menyusul di tengah perhatian umum yang memuncak terhadap kes tersebut, terutama selepas timbul dakwaan melibatkan unsur buli. Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asramanya, sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Bagi membantu siasatan lanjut, jenazah Allahyarham digali semula pada 9 Ogos dan bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos.
Dalam kenyataan rasmi pada 13 Ogos, AGC memaklumkan keputusan untuk menjalankan inkues dibuat selaras dengan peruntukan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
“Prosiding inkues ini bertujuan menentukan punca dan sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kes ini. Proses ini akan dikendalikan secara bebas dan telus di Mahkamah Koroner mengikut lunas undang-undang,” jelas kenyataan itu.
Apa Itu Prosiding Inkues?
Inkues ialah satu bentuk siasatan kehakiman yang dijalankan apabila kematian berlaku dalam keadaan yang memerlukan penjelasan lanjut. Tujuannya adalah untuk mengenal pasti identiti si mati, masa, tempat, punca kematian, serta menentukan sama ada ia berpunca daripada unsur jenayah atau sebaliknya.
1. Keadaan Kematian yang Memerlukan Inkues
Inkues biasanya dijalankan dalam kes:
- Punca kematian tidak diketahui.
- Kematian akibat keganasan atau tidak semula jadi.
- Identiti si mati tidak dapat dikenal pasti.
- Kematian dalam tahanan, seperti banduan di penjara.
- Tiada sijil kematian perubatan dikeluarkan.
2. Peranan Koroner
Prosiding diketuai oleh seorang koroner, iaitu hakim yang dilantik daripada kalangan peguam berpengalaman sekurang-kurangnya lima tahun atau individu yang mempunyai kelayakan perubatan. Koroner akan mendengar semua keterangan, menilai bukti, dan membuat kesimpulan berdasarkan fakta yang diperoleh.
3. Kehadiran Juri dan Saksi
Dalam kes tertentu, inkues mesti dijalankan di hadapan juri, contohnya kematian dalam tahanan akibat keganasan atau kes yang melibatkan pegawai penguat kuasa. Saksi termasuk saksi mata, pegawai polis, doktor, atau mana-mana individu berkaitan boleh dipanggil memberi keterangan.

Foto sekadar hiasan
4. Properly Interested Person (PIP)
PIP merujuk kepada individu yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues, seperti ahli keluarga terdekat si mati. Mereka boleh dilantik sebagai orang hubungan untuk mendapatkan perkembangan kes, melihat bukti, membantah keterangan tertentu, atau menyoal saksi melalui peguam.
5. Proses Inkues
Tidak seperti perbicaraan jenayah, inkues hanya bertujuan mencari fakta dan tidak menjatuhkan hukuman. Koroner akan menyoal saksi terlebih dahulu sebelum membenarkan PIP atau peguam mereka bertanya. Kesimpulan boleh dibuat oleh koroner atau juri, bergantung pada bentuk inkues.
6. Bentuk Kesimpulan Inkues
Antara keputusan yang boleh dicapai termasuk:
- Kematian semula jadi.
- Kemalangan atau kejadian tidak disengajakan.
- Pembunuhan tidak sah.
- Bunuh diri.
- Pembunuhan sah (contohnya mempertahankan diri).
- Keputusan terbuka (open verdict) jika bukti tidak mencukupi.
Prosiding inkues biasanya dijalankan secepat mungkin, idealnya dalam tempoh enam bulan selepas kematian. Namun, koroner boleh memohon tempoh tambahan jika siasatan memerlukan masa yang lebih panjang.
Kes Zara Qairina kini memasuki fasa penting ini bagi memastikan setiap persoalan terjawab, seterusnya memberikan keadilan kepada semua pihak, khususnya keluarga Allahyarham.
Sumber: Facebook
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.