
Foto: Astro Awani
Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi, terus mencipta kejayaan gemilang dalam karier profesionalnya apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.
Memetik laporan Astro Awani, pengiktirafan ini bukan sahaja menobatkan beliau sebagai pemain terbaik musim ini, malah melakar sejarah baharu dalam bola sepak tanah air sebagai individu pertama yang memenangi gelaran tersebut empat kali tanpa henti.
Kejayaan ini mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang oleh bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, yang pernah memenangi anugerah MVP selama tiga musim berturut-turut dari 2010 hingga 2012.
Dalam pada itu, Arif Aiman kini muncul sebagai simbol konsistensi dan dominasi dalam bola sepak Malaysia, menunjukkan kematangan dan ketekunan meskipun baru berusia 23 tahun.
Musim ini, beliau turut merangkul tiga lagi anugerah utama iaitu Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia serta disenaraikan dalam kesebelasan pilihan peminat (Fans XI).
Statistik yang dicatatkan juga mengukuhkan reputasinya, dengan 12 jaringan dan 13 bantuan gol yang membantu JDT mengekalkan kejuaraan Liga Super dan menjulang Piala FA, selain mara ke final Piala Malaysia.
Namun begitu, dalam nada merendah diri, Arif Aiman menyatakan beliau belum berpuas hati dengan pencapaian yang diraih.
“Alhamdulillah, saya tak sangka saya dapat menangi anugerah MVP ini. Tapi setiap tahun adalah cabaran yang tinggi buat saya.
“Saya rasa saya masih tak puas hati. Saya akan bagi yang terbaik sampai saya rasa bangga dengan diri saya,” katanya kepada media sejurus selepas majlis penyampaian anugerah.
Kejayaan Arif Aiman bukan sahaja menjadi kebanggaan buat pasukan JDT, malah menjadi inspirasi buat generasi muda pemain bola sepak tempatan.
Dengan tahap disiplin dan prestasi yang ditampilkan, beliau kini dianggap sebagai antara aset paling bernilai dalam dunia bola sepak Malaysia dan bakal menjadi tokoh penting dalam pembangunan bola sepak negara untuk tahun-tahun mendatang.
Sumber: Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.