Foto: MITI
Malaysia terus mengharumkan nama di pentas antarabangsa apabila beberapa figura seni tempatan terpilih untuk diabadikan dalam Pavilion Malaysia sempena Expo Osaka 2025 di Jepun.
Menerusi satu pendedahan di media sosial, senarai artis yang diberi penghormatan itu akan ditampilkan dalam bahagian “Epilogue: Hall of Fame” di bawah kategori Hiburan.
Menerusi ciapan yang dikongsi akaun @cartapop, Pavilion Malaysia mengambil pendekatan untuk meraikan ikon budaya, termasuk tokoh-tokoh hiburan yang telah banyak menyumbang kepada industri seni tanah air dan membentuk identiti budaya Malaysia di mata dunia.
"Artists that are honoured and featured at the Malaysia's pavilion Epilogue: Hall of Fame under the Entertainment category at Expo Osaka 2025,” tulis ciapan tersebut.
Dengan pendedahan ini, ramai pemerhati industri hiburan dan peminat mula membuat spekulasi siapakah antara tokoh-tokoh seni yang bakal ditampilkan.
Antara nama-nama besar yang dikatakan menerima penghormatan itu ialah Tan Sri Dato’ Seri Michelle Yeoh, Tan Sri P.Ramlee, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Yuna, Datuk Ramli Ibrahim, Harith Iskander, Yasmin Ahmad, U-Wei Haji Saari, Ernie Zakri, Shila Amzah, Dolla, Alena Murang dan Matew Ngau Jau.
Kesemua mereka mempunyai jejak seni yang signifikan dalam sejarah hiburan Malaysia.
Walaupun nama-nama artis berkenaan belum diumumkan secara rasmi dalam ciapan itu, pemilihan mereka untuk diketengahkan dalam acara berprestij seperti Expo Osaka 2025 menunjukkan betapa industri hiburan Malaysia semakin diiktiraf secara global.
Pavilion Malaysia yang dikendalikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dijangka menjadi antara tumpuan utama pengunjung kerana mengetengahkan elemen warisan, inovasi dan ekspresi seni tempatan secara menyeluruh.
Expo Osaka 2025, yang dijadual berlangsung dari April hingga Oktober 2025, membawa tema "Designing Future Society for Our Lives", dan Pavilion Malaysia akan memainkan peranan penting dalam mengetengahkan naratif negara menerusi pendekatan kreatif dan teknologi.
Bahagian Hall of Fame itu dikatakan akan menjadi penutup kepada pengalaman pelawat, dengan mengetengahkan individu-individu yang telah memberikan impak besar kepada Malaysia.
Langkah mengiktiraf artis hiburan sebagai “Hall of Famers” dalam pameran antarabangsa ini juga dilihat sebagai satu penghargaan terhadap peranan seni dalam pembinaan identiti nasional, sekaligus memberi inspirasi kepada generasi baru penggiat seni tempatan.
Pameran ini bukan sahaja menjadi medium untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia, malah turut menjadi lambang pengiktirafan kepada sumbangan besar penggiat seni tanah air yang jarang diberi spotlight di peringkat global.
Sumber: X
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.