Foto: Astro AWANI
Astro Audio dengan kerjasama Bahagian Program Radio, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil menjalin kolaborasi istimewa bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, apabila kedua-dua pihak bergandingan dalam siaran luar secara langsung dari Putrajaya bagi membawakan liputan terus kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kerjasama ini bukan sahaja menzahirkan usaha untuk menyemarakkan lagi suasana sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, malah turut mencerminkan semangat perpaduan antara dua jenama besar dalam industri penyiaran tanah air yang bersama-sama menjunjung nilai kecintaan terhadap negara.
Apa yang menjadikan inisiatif ini lebih menarik adalah keterlibatan penyampai radio popular daripada Astro Audio yang bergandingan secara langsung di lapangan bersama rakan penyampai RTM. Kesepaduan ini memberikan pengalaman baharu kepada para pendengar apabila gaya penyampaian berbeza daripada kedua-dua stesen digabungkan, sekali gus menyampaikan maklumat, hiburan dan mesej patriotisme dengan lebih menyeluruh.
Antara stesen radio utama Astro Audio yang turut terlibat termasuk ERA, SINAR, GEGAR, ZAYAN HITZ, MY, RAGGA dan banyak lagi, yang bergilir-gilir bersama rakan penyampai RTM dalam menghidupkan suasana sambutan di lokasi utama acara. Kehadiran mereka bukan sahaja menghangatkan lagi suasana, malah menjadi daya tarikan kepada pengunjung yang hadir meraikan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya.
Selain liputan secara langsung, Astro Audio turut memperkenalkan inisiatif baharu melalui penganjuran Jelajah KITA FM, iaitu konsep unik bas bergerak yang diubah suai menjadi studio siaran langsung. Jelajah ini menampilkan penyampai radio Astro Audio yang mendekati rakyat dengan aktiviti interaktif seperti kuiz, persembahan, pemberian hadiah serta pertemuan secara terus bersama para pendengar di bandar-bandar utama seluruh negara.
Ketua Pengarah Astro Audio, Priya Dharsini, ketika mengulas mengenai program ini menjelaskan bahawa jelajah tersebut akan diteruskan selepas sambutan rasmi 31 Ogos dengan menjelajahi setiap negeri di Malaysia. Beliau menambah, setiap stesen radio akan diberi peluang untuk mendekati pendengar di negeri-negeri berbeza melalui pelbagai aktiviti dan perkongsian menarik, manakala kemuncak jelajah akan berlangsung pada Hari Malaysia di Pulau Pinang.
“Harapan kami adalah agar rakyat Malaysia lebih bersemangat, bersatu hati, dan terus menghargai makna kemerdekaan serta kepelbagaian budaya yang kita miliki. Pada masa yang sama, ia diharap dapat mengeratkan lagi hubungan istimewa antara pendengar dan penyampai radio melalui pengalaman yang lebih dekat dan bersifat inklusif,” jelas beliau.
Kolaborasi antara Astro Audio dan RTM ini dilihat bukan sahaja sebagai langkah memperluas capaian siaran, tetapi juga sebagai simbol usaha menyatukan rakyat melalui medium penyiaran dalam menghayati erti kemerdekaan.
Sumber: Astro AWANI
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.