
Astro menyambut kehadiran Ramadan 1447H dengan penuh keterujaan menerusi kempen bertemakan ‘Bersama Lagi Jadi’, membawakan lebih 60 kandungan baharu yang disusun khas untuk seluruh keluarga Malaysia. Gabungan program kerohanian, drama berkualiti, hiburan santai dan inisiatif komuniti ini bakal menemani penonton di platform televisyen, digital dan radio sepanjang bulan mulia.
Menurut Naib Presiden Melayu, Antarabangsa, Kanak-kanak & On Demand Astro, Azlin Reza Azmi, tema tahun ini menekankan nilai kebersamaan. Ramadan dan Syawal, katanya, menjadi lebih bermakna apabila diraikan bersama insan tersayang melalui pengisian yang mendidik jiwa serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Kemeriahan kempen turut diserikan barisan duta terkenal seperti Zizan Razak, ALPHA, Sharifah Shahira dan Auddra yang akan membawa mesej positif kepada masyarakat. Tradisi jelajah ‘Assalamualaikum’ diteruskan dengan lokasi pertama di Masjid Seberang Takir, Kuala Terengganu pada 7 Februari 2026, menawarkan pelbagai aktiviti mendekati komuniti setempat.
Astro Oasis tampil dengan program baharu termasuk ‘Home Of Ramadan’, siaran langsung tiga jam yang padat dengan segmen mengaji, tadabbur, masakan dan interaksi penonton. Turut mencuri perhatian ialah ‘Halaqah Nunha’ bersama Ustaz Haris Ismail dan Neelofa serta kolaborasi unik ‘MeleTOP Moreh x Tazkirah Malam Jumaat’.

Bagi peminat drama, Astro mempertaruhkan judul-judul dinanti seperti:
- ‘Andai Itu Takdirnya 2’
- ‘Sujud Terakhir Encik Norman’
- ‘Keluarga Iskandar 3’
- ‘Mencari Isteri Sempurna’
- Komedi kekeluargaan ‘Misi Solat 5 Waktu’
Rancangan hiburan pula dimeriahkan dengan ‘MeleTOP Moreh’, ‘Dapur Bapak Bapak’ serta realiti komedi ‘Misi Lawak Superstar’, manakala kanak-kanak ditemani animasi popular Upin & Ipin Musim 19 setiap hari.
Di platform digital Astro Gempak, penonton boleh mengikuti ‘Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani’ dan ‘Sayang Ajar Masak S3’. Astro Radio pula menyajikan pelbagai segmen kreatif seperti ‘ERA: Tumpang Belajar’, ‘SINAR: John Sinar’, ‘GEGAR: Projek Balang Air’ serta inisiatif kebajikan ‘ZAYAN: Rasa Kasih Zayan’.
Astro First tidak ketinggalan menampilkan tiga filem menyentuh realiti Masyarakat iaitu ‘Akad Yang Hilang’, ‘Abah Saya, Uncle Mike’ dan ‘Amira Amir’, boleh ditonton pada harga RM15 untuk 48 jam.
Melalui Astro Kasih, bantuan kepada golongan asnaf diteruskan termasuk 100 pek sumbangan di Masjid Seberang Takir serta saluran derma Program Kasih Ramadan bagi menggalakkan budaya bersedekah.
Dengan barisan kandungan menyeluruh dan mesej kebersamaan yang kuat, Astro bertekad menjadikan Ramadan 2026 lebih bermakna buat setiap rumah di Malaysia.
Maklumat lanjut di astroramadan.com.my atau platform media sosial Astro Malaysia.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.