
Dunia sukan kini berdebar menanti keputusan besar daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). Desas-desus kuat mengatakan larangan penuh terhadap penyertaan atlet transgender wanita bakal dilaksanakan menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028, satu langkah yang boleh mengubah landskap sukan dunia buat selama-lamanya.
Di bawah peraturan sedia ada, setiap sukan mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada atlet transgender wanita boleh bertanding, bergantung pada paras testosterone mereka yang mesti berada di bawah tahap tertentu. Namun, IOC yang kini diterajui oleh Presiden baharu, Kirsty Coventry, sedang menimba untuk memperkenalkan larangan menyeluruh (blanket ban) terhadap semua sukan, satu tindakan yang dikatakan bagi ‘melindungi kategori wanita.’
Langkah ini, jika diluluskan, akan mengelakkan kontroversi seperti yang berlaku di Olimpik Tokyo 2020, apabila Laurel Hubbard, atlet angkat berat dari New Zealand yang menjalani transisi jantina pada 2012, menjadi tumpuan dunia dan mencetuskan perdebatan hangat tentang keadilan dalam sukan wanita.

Sumber dalaman IOC menyatakan bahawa keputusan rasmi mungkin tidak akan diumumkan sebelum Olimpik Musim Sejuk di Itali pada Februari tahun depan. Namun, laporan awal mencadangkan perubahan peraturan boleh diumumkan seawal bulan itu, walaupun proses kelulusan penuh dijangka mengambil masa antara enam bulan hingga setahun.
Jika benar, langkah ini bakal menjadi pencapaian penting bagi Kirsty Coventry bekas perenang Olimpik dan juara dunia dari Zimbabwe yang menjadikan perlindungan kategori Wanita sebagai agenda utama kempennya semasa merebut kerusi presiden IOC.
Namun, persoalan besar masih belum terjawab;
Adakah atlet dengan perbezaan perkembangan seksual (DSD) seperti yang mencetuskan kontroversi dalam acara tinju di Paris 2024 juga akan terkesan?
Perbincangan ini bukan sekadar soal biologi ia juga menyentuh isu hak, keadilan dan identiti. Satu perkara pasti, Olimpik Los Angeles 2028 bakal menjadi edisi yang mencatat sejarah, sama ada sebagai lambang perlindungan wanita atau titik perubahan besar dalam komuniti transgender di arena sukan global.
Sumber: Daily Mail
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.