Foto: Agensi
Teka-teki mengenai hubungan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, yang disatukan dua tahun lalu akhirnya terjawab.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa mereka akan dipisahkan dan bakal digandingkan dengan pasangan baharu selepas ini.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Prestasi yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam.
Subramaniam berkata, keputusan tersebut diambil selepas meneliti laporan yang dikemukakan oleh jurulatih beregu campuran, Nova Widianto, dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.
“Kami telah menerima laporan akhir daripada Nova dan Rexy.
“Pasangan ini akan dipisahkan untuk kejohanan-kejohanan yang akan datang,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
BAM turut memberikan kelulusan kepada Nova dan Rexy untuk menentukan pasangan baharu yang sesuai untuk kedua-dua pemain tersebut.
Sejak 2023, Tang Jie dan Ee Wei pernah menduduki tempat ketiga sebagai beregu campuran terbaik dunia.
Selain itu, mereka turut memenangi beberapa gelaran termasuk Terbuka Korea 2024 dan Orleans Masters 2023.
Tang Jie berpotensi untuk digandingkan sama ada dengan Chan Wen Tse atau Gobi Vannee, manakala Ee Wei pula berkemungkinan membentuk gandingan baharu dengan Loo Bing Kun, Yap Roy King, atau Choong Hon Jian.
Sumber: BAM
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.