
Foto: Sinar Harian
Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai tertindih lengan bapanya yang telah meninggal akibat serangan jantung, dalam satu insiden tragis yang berlaku di Kampung Perigi Hang Tuah, pagi tadi.
Mangsa dewasa, Nurul Efendy Ibrahim, 35 tahun, ditemui tidak sedarkan diri oleh isterinya, Azura Abdul Malik, 37, yang baru pulang ke rumah sekitar jam 9.30 pagi. Ketika itu, anak mereka, Muhammad Nur Daniel Nurul Efendy, berada dalam posisi di bawah lengan bapanya.
Menurut Azura, mereka masih menunggu keputusan rasmi daripada laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kedua-dua beranak itu.
“Saya tergamam apabila membuka pintu rumah dan melihat suami serta anak kami dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Beliau segera menghubungi pihak hospital untuk mendapatkan bantuan kecemasan. Suaminya disahkan meninggal dunia di rumah, manakala bayi mereka yang masih bernyawa namun lemah ketika ditemui, meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Sementara itu, menurut Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Supian Md. Dali dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 9.58 pagi.
“Maklumat awal memaklumkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bayinya meninggal dunia semasa menerima rawatan,” jelas beliau.
Beliau turut memaklumkan, pasukan bomba diminta menjalankan pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan bagi mengesan kemungkinan kebocoran gas. Namun, selepas penilaian awal, punca kematian dipercayai akibat serangan jantung, sekali gus membatalkan keperluan bantuan daripada unit Hazmat.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.