Foto: X
Rakaman kamera ‘kiss cam’ di sebuah konsert kumpulan terkenal Coldplay bukan sahaja mencetuskan tawa dan meme di internet, malah kini dilaporkan berpotensi membawa kepada tindakan undang-undang.
Andy Byron, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat teknologi Astronomer, dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menyaman Coldplay serta penganjur acara selepas klip video memaparkan dirinya bersama bekas rakan sekerja, Kristin Cabot, menjadi tular ketika konsert di Gillette Stadium baru-baru ini. Kejadian itu berlaku ketika kamera 'kiss cam' merakam pasangan berkenaan dalam kalangan penonton, sebelum ia dipaparkan pada skrin gergasi stadium.
Ketika rakaman tersebut disiarkan, Bryon kelihatan segera menunduk manakala Cabot pula pantas menutup mukanya dengan tangan, mencetuskan reaksi terhibur daripada penonton. Situasi menjadi lebih panas apabila vokalis utama Coldplay, Chris Martin, membuat jenaka secara spontan, dengan berkata, "Mereka mungkin sedang curang atau sangat pemalu."
Kenyataan itu dilihat sebagai titik mula kemelut yang lebih besar apabila klip berkenaan tular dan mencecah lebih 128 juta tontonan setakat ini. Netizen segera membuat spekulasi mengenai hubungan sebenar antara Bryon dan Cabot, lebih-lebih lagi selepas diketahui bahawa kedua-duanya berada dalam hubungan dengan individu lain.
Tidak lama selepas insiden itu, isteri kepada Bryon dilihat menukar nama profil Facebooknya dengan membuang nama keluarga 'Bryon', sebelum akaun tersebut dipadamkan. Keadaan menjadi lebih tegang apabila beberapa bekas pekerja Astronomer turut berkongsi cerita lama, manakala syarikat tersebut terpaksa menjalankan kawalan kerosakan secara besar-besaran.
Selepas insiden itu menjadi perbualan hangat di seluruh dunia, kedua-dua individu berkenaan telah diarahkan bercuti oleh pihak syarikat, sebelum mereka dilaporkan meletakkan jawatan beberapa hari kemudian. Astronomer turut mengesahkan bahawa siasatan dalaman telah dijalankan susulan penyebaran video tersebut.
Walaupun baik Bryon mahupun Cabot tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut, tindakan mereka yang meletak jawatan secara tiba-tiba hanya menambahkan lagi spekulasi dalam kalangan orang ramai.
Kini, menurut laporan Page Six, Bryon sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Coldplay dan pihak penganjur konsert, kerana mendakwa beliau tidak memberikan persetujuan untuk dirakam atau dijadikan bahan jenaka di hadapan khalayak ramai. Sumber terdekat dengan Bryon memaklumkan kepada Yahoo Entertainment bahawa beliau merasakan dirinya dimalukan secara terbuka dan Coldplay telah menjadikannya bahan meme tanpa kebenaran.
Bagaimanapun, beberapa pakar undang-undang berpendapat bahawa sebarang tindakan undang-undang yang bakal diambil adalah bersifat lemah dan berkemungkinan besar tidak akan diterima oleh mahkamah.
Peguam Camron Dowlatshahi dari MSD Lawyers menjelaskan bahawa walaupun secara teori Bryon boleh memfailkan saman fitnah terhadap Chris Martin dan Coldplay, beliau perlu membuktikan bahawa kenyataan yang dibuat mempunyai unsur niat jahat dan dibuat dengan pengetahuan bahawa ia adalah tidak benar.
Menurut Dowlatshahi, keperluan ini jarang sekali dapat dipenuhi dalam prosiding undang-undang sebenar. Beliau turut menambah bahawa adalah mustahil untuk mendakwa fitnah dalam konteks ini kerana Bryon dan Cabot menghadiri acara umum yang dihadiri kira-kira 70,000 orang, justeru tiada harapan untuk mempertahankan hak privasi dalam suasana sebegitu.
Peguam Ray Seilie daripada firma Kinsella Holley Iser Kump Steinsapir LLP pula bersependapat bahawa kenyataan Chris Martin tidak melangkaui had undang-undang fitnah. Malah, jika kenyataan itu dianggap sebagai fakta tentang hubungan sulit antara mereka, ia berkemungkinan mempunyai kebenaran yang tidak dapat dinafikan.
Lebih penting lagi, menurut peguam berkenaan, pembelian tiket ke acara tersebut sudah pun memperlihatkan persetujuan implisit kepada rakaman serta penyiaran visual oleh pihak penganjur. Ini bermakna Bryon tidak mempunyai asas kukuh untuk mendakwa hak privasinya telah dilanggar.
Jules Polonetsky, Ketua Pegawai Eksekutif Future of Privacy Forum, turut menegaskan bahawa Bryon sukar untuk menuntut pelanggaran privasi dalam situasi yang begitu terbuka dan awam. Beliau berkata, walaupun undang-undang tertentu melindungi rakaman audio secara rahsia, ia tidak terpakai dalam konteks rakaman visual di acara awam.
Dalam pada itu, orang ramai di media sosial terus memperkatakan isu ini dengan pelbagai reaksi sinis dan lucu terhadap kemungkinan saman yang dirancang oleh Bryon. Ramai berpendapat bahawa tindakan itu hanya akan mengundang lebih banyak perhatian negatif terhadap dirinya sendiri, sekali gus menjadikan situasi yang sudah pun memalukan bertambah parah.
Sumber: The Page Six, Yahoo Entertainment
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.