Foto sekadar hiasan
Kerajaan merancang untuk melaksanakan kaedah pembelian minyak masak paket bersubsidi menggunakan kad pengenalan (MyKad) seawal hujung tahun ini menerusi penyelarasan sistem bersama terminal MyKasih, menurut laporan Harian Metro.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata ketika ini proses integrasi sistem masih sedang dijalankan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Menurut beliau, usaha tersebut melibatkan penyatuan pangkalan data sedia ada dengan terminal MyKasih yang dijangka dipasang di kedai runcit di seluruh negara.
“Kita unjurkan sistem itu bersedia menjelang hujung tahun ini. Ketika ini data pembelian masih dikumpulkan melalui aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dan kerajaan sedang dalam proses integrasi dengan Kementerian Kewangan.
“Apabila proses itu siap dan terminal MyKasih berada di kedai runcit di seluruh negara, penggunaan MyKad untuk pembelian minyak masak paket bersubsidi akan dilaksanakan,” katanya.
Pada masa ini, orang ramai masih menggunakan kaedah imbasan kod QR untuk membeli minyak masak paket bersubsidi melalui sistem berkenaan.
Fuziah menjelaskan rakyat Malaysia perlu mengimbas kod tersebut melalui rakan strategik kementerian sebelum pembelian dapat dibuat.
“Pada ketika ini, kita menggunakan kod QR untuk rakyat Malaysia membeli minyak masak paket. Mereka perlu mengimbas kod tersebut bersama rakan strategi kementerian.
“Langkah ini diambil selepas kerajaan mewartakan bahawa warga asing tidak dibenarkan membeli minyak masak paket bersubsidi,” katanya.
Sepanjang tempoh Januari 2024 hingga Februari 2026, sebanyak 951 kes ketirisan minyak masak paket direkodkan dengan nilai rampasan sekitar RM4.5 juta sejak mekanisme pemantauan dilaksanakan.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan bahawa warga asing tidak dibenarkan membeli minyak masak bersubsidi.
Larangan tersebut mula dikuatkuasakan pada 1 Mac di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 berasaskan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.