Foto: Instagram
Pelakon tampan yang dikenali ramai, Ben Amir, akhirnya membuka mulut mengenai status hatinya yang kini telah dimiliki oleh seorang wanita warga Filipina. Walaupun hubungan mereka masih di peringkat awal, Ben tidak menafikan ada perasaan istimewa yang telah terjalin antara mereka.
Namun begitu, apa yang lebih menjadi perhatian peminat ialah keputusan drastiknya untuk berpindah ke Filipina baru-baru ini.
Ramai yang membuat andaian bahawa Ben berhijrah ke negara itu kerana cinta, tetapi menurut pelakon drama Sweet Dreams itu, keputusan tersebut dibuat atas keinginan sendiri untuk memulakan kehidupan baharu yang lebih tenang dan mencabar dari segi peribadi dan profesional.
“Saya sendiri jatuh cinta dengan suasana di sana. Saya sukakan ketenangan dan vibe Pulau Siargao itu. Ia sangat berlainan daripada kehidupan sibuk di Kuala Lumpur.
“Tapi saya tidak mahu orang salah faham dan fikir saya berpindah kerana cinta semata-mata. Hubungan saya dengan dia pun baru dua tahun dan kami masih dalam fasa mengenali hati budi,” katanya tenang.
Menurut Ben lagi, dia memang sudah lama menyimpan impian untuk keluar dari zon selesa dan mencabar dirinya dalam persekitaran yang asing. Sebagai lelaki yang sudah lebih satu dekad dalam industri hiburan, Ben mengakui sampai satu tahap dia perlukan anjakan dalam hidupnya, bukan sahaja dari segi kerjaya malah mental dan spiritual.
“Kalau kita terlalu lama dalam satu zon, kita mudah jadi lesu dan hilang semangat. Saya perlu sesuatu yang boleh buat saya rasa hidup semula. Filipina bagi saya suasana yang cukup berbeza.
“Orangnya mesra, persekitaran damai, dan pada masa yang sama saya lihat banyak peluang yang boleh saya terokai di sana,” katanya lagi.
Sekarang, Ben sedang sibuk merancang pembukaan restoran dan pembangunan sebuah vila yang akan dijadikan penginapan pelancong. Bukan mudah untuk mengusahakan perniagaan di negara orang, katanya, tetapi dia yakin dengan perancangan yang teliti dan semangat ingin belajar, dia mampu berjaya.
“Sudah tentu ada cabaran. Nak faham peraturan tempatan, nak cari tenaga kerja yang boleh diharap, semuanya memerlukan masa dan kesabaran.
“Tapi saya suka cabaran macam ni. Ia buat saya lebih matang dan menghargai setiap proses,” ujar Ben yang kini banyak menghabiskan masa di sana untuk urusan perniagaan.
Walaupun fokusnya kini lebih kepada projek baharu, Ben tidak menutup pintu untuk terus berlakon. Katanya, jika ada skrip dan produksi yang sesuai, dia tidak teragak-agak untuk kembali ke set.
“Berlakon tetap minat saya. Tapi sekarang saya kena utamakan apa yang saya bina di sana dulu. Kalau ada tawaran berlakon dan masa mengizinkan, saya akan pertimbangkan. Lagipun saya masih rindukan suasana di set penggambaran dan kerja bersama krew filem.”
Di sebalik semua perancangan, Ben tetap berpijak di bumi nyata. Hubungannya dengan wanita Filipina itu masih disimpan rapi tanpa pendedahan terlalu peribadi. Katanya, belum tiba masanya untuk berbicara soal perkahwinan.
“Saya tak nak terlalu cepat. Kita pun tak tahu apa akan jadi. Buat masa sekarang saya gembira dengan kehidupan baru saya dan saya harap orang faham, tidak semua keputusan dibuat kerana cinta semata-mata,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Sumber: mStar Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.