Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan titah perkenan agar semua masjid di Perak dibenarkan menerima bilangan jemaah solat Jumaat dan solat fardu mengikut keluasan dewan solat utama dengan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan, berkuat kuasa solat Maghrib esok.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, Sultan Perak telah disembah maklum panduan aktiviti di masjid dan surau semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) berfasa di negeri itu.
Tambahnya lagi, setelah mengambil maklum sembah nasihat dari Jabatan Kesihatan Negeri (KKM) dan Majlis Keselamatan (MKN) Negeri Perak, serta berlandaskan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Baginda menzahirkan titah perkenan penguatkuasaan berkenaan.
“Semua surau, termasuk surau dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang, dibenarkan untuk mendirikan Solat Jumaat agar seramai mungkin jemaah berpeluang menunaikan solat Jumaat.
“Selain itu, semua masjid dan surau dibenarkan mengadakan solat sunat Aidiladha dengan menerima bilangan jemaah mengikut keluasan dewan solat utama dengan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan.
“Turut dibenarkan untuk diadakan solat sunat Aidiladha diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan-kawasan perumahan dengan memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Hari Raya Aidiladha kepada Balai Polis atau Pondok Polis terdekat,” katanya.
Manakala bagi solat jenazah ianya hanya terbatas kepada ahli-ahli kariah jemaah lekaki sahaja.
Dalam kenyataan sama, Mohd Annuar berkata, kuliah ilmu dibenarkan dalam ruang waktu selepas solat Maghrib dan hentikan segera sebaik masuk waktu solat Isyak.
Bagi kuliah sebelum solat Jumaat, beliau berkata ia hendaklah diadakan tidak melebihi tempoh 30 minit.
“Untuk solat Jumaat dan solat jenazah, hanya jemaah lelaki, warganegara dan penduduk tetap Malaysia, berusia 12 tahun ke atas dibenarkan.
“Bagi solat fardu dan solat sunat Aidiladha, terhad kepada jemaah lelaki dan wanita, warganegara dan penduduk tetap Malaysia berusia 12 tahun ke atas,” ujarnya.
Tambah beliau, kumpulan berisiko tinggi khususnya yang menghidap penyakit tertentu dinasihatkan untuk tidak menghadiri aktiviti berkumpulan di masjid atau surau.
Selain itu jelasnya, tidak dibenarkan juga untuk diadakan aktiviti jamuan di dalam dalam masjid atau surau, termasuk di ruang pekarangan bangunan.
Pada masa sama, beliau berkata, tidak dibenarkan sebarang aktiviti termasuk mendirikan solat Jumaat, solat fardu, solat sunat Aidiladha dan solat jenazah di masjid dan surau yang terletak dalam kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Kuasa budi bicara diberikan kepada Orang Besar Jajahan bersama Pegawai Daerah dan Pegawai Tadbir Agama Daerah untuk mengarahkan mana-mana masjid atau surau ditutup sementara dan tidak dibenarkan mendirikan solat dalam masjid dan surau, apabila mendapat nasihat atau maklum balas dari MKN, Jabatan Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ada berlakunya penularan wabak dalam kariah atau mukim berkaitan.
“Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan garis panduan terperinci kepada semua jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau, di samping bertanggungjawab memantau pematuhan garis panduan menurut yang ditetapkan,” katanya lagi.
Sumber: Awani