Foto: Instagram
Penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari meluahkan rasa syukur apabila keluarga Allahyarham suaminya, Ashraf Sinclair, menerima kehadiran suami baharunya, Tiko Aryawardhana, dengan penuh keterbukaan dan kasih sayang.
Bunga, 42, berkata, bukan sahaja ibu bapa kandungnya dan keluarga Tiko yang hadir dalam kehidupannya kini, malah keluarga Ashraf juga masih memainkan peranan penting dalam hidupnya meskipun beliau telah kembali mendirikan rumah tangga.
“Saya bersyukur kerana keluarga Ashraf dapat menerima Tiko seadanya. Bahkan, bukan hanya Tiko tetapi seluruh ahli keluarganya turut diterima baik oleh mereka.
“Mereka tidak pernah mempersoalkan hubungan saya yang masih rapat dengan keluarga Ashraf. Ini adalah satu nikmat besar dalam hidup saya. Kalau dilihat sewaktu majlis perkahwinan kami di Bali, saya ibarat memiliki tiga keluarga — ibu bapa saya, ibu bapa Ashraf dan ibu bapa Tiko. Semuanya menjadi satu keluarga besar sekarang,” katanya ketika ditemui dalam sidang media An Intimate Afternoon with Bunga Citra Lestari yang berlangsung di Imperial Lexis, Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurut Bunga, hubungannya dengan keluarga Allahyarham Ashraf tidak pernah terputus kerana kasih sayang yang pernah terjalin bukan hanya terhad kepada Ashraf semata-mata, tetapi meluas kepada seluruh ahli keluarga arwah.
“Saya bukan hanya bernikah dan mencintai Ashraf, saya juga menyayangi keluarganya sepenuh hati. Mereka sangat baik dan sentiasa memberi sokongan kepada saya sejak dahulu lagi.
“Malah kini, mereka juga menyokong kehadiran Tiko dalam kehidupan saya. Ini sesuatu yang sangat menyentuh hati saya. Saya berasa sangat beruntung,” ujarnya.
Tambah pelantun lagu Wanita Terbahagia itu lagi, beliau percaya bahawa keharmonian antara ketiga-tiga keluarga itu merupakan satu bentuk kebahagiaan yang tidak ternilai, dan beliau amat menghargainya.
“Ikatan ini sangat bermakna. Kehadiran tiga keluarga dalam hidup saya merupakan satu rahmat yang amat saya syukuri,” katanya dengan penuh emosi.
Sumber: mStar Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.