
Foto: Instagram AnimalMalaysia
Dua ekor anjing jenis Rottweiler menyerang seorang wanita di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil semalam, mengakibatkan wanita tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian belakang kepalanya sehingga terkoyak.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, wanita itu telah menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani pada petang semalam.
Menurutnya, seorang lagi wanita tempatan, dua lelaki tempatan, dan seorang pensyarah berusia 28 tahun dari Mesir turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital yang sama.
"Difahamkan pensyarah yang mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UNISHAMS) sedang berjalan menuju ke surau Taman Desa Bidara untuk menunaikan solat Subuh ketika dia diserang oleh anjing-anjing terbabit.
"Serangan bermula pada jam 4.30 pagi, dengan seorang wanita warga emas menjadi mangsa pertama selepas anjing-anjing itu meloloskan diri dari rumah pemiliknya yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
"Anjing-anjing itu kemudian menyerang empat lagi mangsa di tiga lokasi berbeza dalam kejiranan itu sepanjang tempoh dua jam," katanya ketika ditemui di taman berkenaan semalam.
Beliau berkata, pemilik anjing tersebut telah diarahkan untuk menyerahkan haiwan itu kepada Jabatan Veterinar Kulim bagi pemeriksaan dan kini anjing tersebut dikuarantin selama dua minggu.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah, Dr. Shaharul Akmar Talib, memaklumkan bahawa anjing-anjing tersebut akan dipantau untuk sebarang tanda jangkitan rabies.
"Perkara ini juga tertakluk kepada undang-undang kecil mengenai pelesenan anjing yang dikuatkuasakan oleh Majlis Daerah Baling," katanya ketika dihubungi.
Sumber: Berita Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.