Foto: Harian Metro
Dua kanak-kanak beradik yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari durian ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati apabila mayat mereka ditemui saling berpelukan di sebuah kebun di Dusun Teba Langgar, Pesisir Barat, Lampung.
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai AT, 8, dan adiknya KK, 4, dipercayai keluar dari rumah dengan kebenaran ibu bapa untuk mencari durian di kebun berhampiran. Namun, setelah sekian lama tidak pulang, usaha mencari dilancarkan oleh ahli keluarga bersama penduduk kampung.
Menurut Ketua Polis Pesisir Barat, AKBP Bestiana, operasi pencarian menemukan titik tragis sekitar jam 10.30 malam apabila kedua-dua kanak-kanak itu ditemui tidak bernyawa di kawasan berjurang dalam kebun tersebut.
“Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah yang menunjukkan unsur kekejaman.
“Salah seorang daripada mereka ditemui dengan tangan terputus dan kecederaan serius di kepala akibat objek tajam,” ujar Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polda Lampung, Komisioner Kanan Pahala Simanjuntak.
Beliau mengesahkan bahawa insiden ini diklasifikasikan sebagai kes pembunuhan dan pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan rapi untuk mengenal pasti suspek serta motif di sebalik kejadian kejam itu.
“Siasatan awal mendapati kesan tetakan berulang pada kepala dan tubuh mangsa yang jelas menunjukkan penggunaan senjata tajam. Kami percaya ini adalah pembunuhan terancang dan bukan kemalangan,” katanya lagi.
Tragedi menyayat hati ini mencetuskan kemarahan dan kesedihan dalam kalangan masyarakat tempatan yang kini menanti keadilan buat dua adik beradik malang itu.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.