Foto: Instagram
Pelakon terkenal, Edika Yusof, 58, menyatakan bahawa dia akan berusaha untuk berbincang dengan isterinya, Nor Hidayah Yusri, 47, meskipun wanita itu telah memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada bulan Februari lalu.
Edika menegaskan bahawa tiada isu serius dalam perhubungan mereka dan beliau berjanji akan memberikan ‘update’ mengenainya.
Dalam pada itu, dia juga menyatakan kemungkinan masalah tersebut berpunca daripada perbezaan sekufu antara mereka.
"InsyaAllah saya akan update nanti... tiada yang serius, InsyaAllah kami akan cuba berbincang.
“Mungkin ada ketidaksekufuan di pihak dia... Terima kasih," kata Edika ringkas melalui WhatsApp kepada Harian Metro.
Terdahulu, media melaporkan bahawa perkahwinan 22 tahun antara Edika dan Nor Hidayah kini berdepan dengan masalah, apabila Nor Hidayah difahamkan sudah memfailkan tuntutan cerai pada pertengahan Februari.
Peguam syarie yang mewakili Nor Hidayah, Mohd Yazid Hazim, mengesahkan perkara tersebut ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Foto: Instagram
"Hari ini adalah sebutan pertama kes cerai, hanya penyerahan dokumen daripada plaintif. Defendan (Edika) sepatutnya hadir, namun mereka mengirim surat menyatakan tidak dapat hadir kerana komitmen kerja.
Oleh itu, mahkamah menetapkan tarikh baru iaitu 23 April untuk sebutan semula," jelasnya.
Berkaitan alasan permohonan cerai, Yazid menyatakan bahawa beliau tidak boleh berkongsi maklumat lanjut pada masa ini, namun tidak menafikan bahawa ia berkaitan dengan masalah persefahaman.
Sementara itu, Nor Hidayah pula enggan memberi komen lanjut mengenai keputusan untuk bercerai, serta memilih untuk menunggu penjelasan daripada pihak Edika terlebih dahulu.
Beliau bagaimanapun turut memberitahu bahawa dia dan Edika sudah tidak tinggal bersama, tetapi enggan mendedahkan sejak bila situasi itu mula berlaku.
Sekadar info, hubungan Edika dan Nor Hidayah sebelum ini pernah mendapat perhatian apabila Edika dilihat setia menjaga isterinya yang mengalami lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.
Hasil perkahwinan sejak 2003, mereka telah dikurniakan tiga orang anak, iaitu Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq, dan Fereena Nurulhaq.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.